rawkcarpark

Archive for September, 2008|Monthly archive page

album : kembali

In Ulasan Album on September 23, 2008 at 7:42 am

Kembali
Butterfingers
Butterworld
2008

Kembali – perkataan yang membawahi dimensi maksud yang getir. Seperti ada yang belum langsai dan menuntut kehadiran semula. Dan Butterfingers, dengan semangat yang sama barangkali, menyatakan maksud yang cukup jelas dengan album ini – muzik mereka masih ada daerah yang mahu dijelajah.

Perkara paling bermakna bagi sesebuah entiti muzik – dan juga penggemar muzik – adalah proses kematangan hasil kerja. Melalui jalan ini, muzik itu terasa  berfungsi melangkaui apa yang sepatutnya dijangka – dan berakhir kepada satu perasaan yang puas.

Album baru Butterfingers ini juga tidak salah kalau dikatakan mempunyai kekuatan tersebut.  ‘Selamat Tinggal Dunia’ muncul sebagai takat sukat sebuah band yang dalam peralihan, daripada setting nilai awal mereka yang bertolak dari pengaruh muzik asal kepada satu jarak yang masih dicuba-cuba dalam lingkar susur galur bunyi-bunyian tempatan-nusantara.

Dengan Kembali, mereka berjalan jauh lagi ke ruang ‘mengenal diri’. Dengarkan ‘lick-lick’ daripada Loque dan kita akan faham maksud di sini. Lagu-lagu juga jadinya lebih konkrit walaupun mungkin masih kuat gaya-gaya lama penulisan muzik mereka.

Sewaktu berbual dengan beberapa orang teman – dan menonton temuramah pendek Loque di tv – ada satu perkataan yang agak kerap menonjol iaitu nasionalisme. Dan band ini sepatutnya mengambil sikap yang lebih kukuh untuk menerangkan maksud mereka dengan kata nasionalisme ini. Pendengar mahu tahu apa sebenarnya yang bermain di dalam fikiran Butterfingers dengan tema tersebut. Atau adakah ia akan berakhir dengan penggunaan bahasa Malaysia dan bukan Inggeris di dalam album? Ini perlu dijelaskan oleh Butterfingers.

Dari aspek muzik, pendengar yang sentiasa mengharapkan perubahan tidak akan kecewa. Band ini sentiasa mempamerkan kecenderungan untuk terus progresif dengan idea-idea muzik mereka. Dalam sejarah muzik moden, kita pernah melihat band-band luar yang ‘menganut’ fahaman ini – sentiasa mahu dekat dengan pembahruan dan pengembangan muzik mereka. Radiohead mungkin contoh paling jelas. (Perbandingan di sini bukanlah diantara muzik kedua-dua band ini, tetapi bersandarkan pembangunan hasilan kerja muzik mereka keseluruhannya.)  Dan itu adalah simbol keghairahan sesebuah band yang sentiasa dahaga dengan muzik mereka dan mahu untuk terus menganjak sempadan stereotaip  mereka sendiri. Itu adalah pencapaian yang baik.

Bagaimanapun, ada satu perkara lagi yang sedikit kurang pada album ini; cara sebuatan Emmet yang tidak konsisten bagi perkataan yang akhirannya dengan huruf ‘a’. Contoh: masa vs mase. Emmet mungkin perlu berfikir untuk mengetengahkan sebutan yang paling selesa untuk dirinya – tidak kesah yang mana satu asalkan ia konsisten sepanjang album.

Buat masa sekarang, mendengar Kembali adalah rawatan… kerena masih belum ada album artis tempatan yang mampu menawarkan perkara yang sama seperti yang Butterfingers tawarkan (untuk sebuah album band kugiran). Untuk itu, RM29.90 yang anda keluarkan, paling tidak akan menyenangkan halwa telinga sendiri dan terus berlayar dalam latar muzik yang kembali ke daerah sini dan jauh meninggalkan Seattle.

 -Hafiz Hamzah-

musicforum dan roslan aziz

In dilema muzik on September 18, 2008 at 7:37 am

Apabila menyentuh hal muzik, Roslan Aziz tidak langsung mahu berkompromi. Muzik adalah untuk muzik – walaupun kita harus akur yang membikin muzik juga perlukan pulangan – tetapi ada hal-hal yang tiada tolak ansur. Sekurang-kurangnya itu maksud prinsip beliau yang dinyatakannya sendiri.

Dilema kebanyakan pelaku muzik mungkin sama. Mahu menghasilkan muzik yang mereka yakini dan pada masa yang sama berhadapan dengan percaturan pasaran (perniagaan). Mereka tersepit sama ada untuk mempertahankan sisi seni ataupun menurut kehendak bisnes semata. Di sinilah, bagi khalayak di Malaysia, bab-bab yang sukar diperhalusi.

Sisi seni (penulisan lagu, lirik, bla.. bla..) sering bercanggah dengan tuntutan pasaran (atau, inilah yang selalu disogokkan untuk kita percaya). Apa masalahnya jika kita mencari titik silang yang menemukan dua elemen penting ini untuk dimuatkan dalam hasilan muzik? Pulangan memang penting untuk menjana keyakinan pemuzik tetapi seni juga sama penting untuk menganjakkan nilai kreativiti yang matang untuk komuniti kecil dan masyarakat. Boleh?

Ok, lupakan semua hal-hal lapuk ini. Ketika sesi dialog dengan Roslan Aziz di Studio Tandjung, Puchong hujung minggu lalu, ada beberapa perkara yang molek dikongsikan dengan semua.

Topik asasnya menyentuh perihal produksi muzik – bagaimana mahu menghasilkan muzik yang bagus dan juga kerja studio yang sama tahapnya. Bagi beliau, dua perkara esential; pengetahuan dan tuan empunya badan itu sendiri.

Pemuzik – jika mahu mencapai tahap profesional – kata Roslan harus mempunyai pengetahuan mendalam tentang instrumennya. Bukan sekadar tahu sipi-sipi, tetapi pemuzik wajib mengenggam segala aspek maklumat tentang instrumen. “Pemain drum misalnya, macam mana nak bagus kalau pengatahuan teknikal tentang drum dia tak ada? Snare ini begini, tom dengan saiz ini tone dia macam ni, lain saiz lain karektor bunyinya. Ini bukan pakai agak-agak. Ini pengetahuan.”

“Untuk mahir, berlatih. Pakai metronome. Ambil serius benda-benda ni, kalau tidak kau tak akan jadi pemuzik. Kau hanya duduk setakat orang yang hobinya dengan muzik, itu saja!” Dan lagi satu yang penting juga, jangan malas baca buku!

Beliau yang diawal kariernya banyak menghasilkan kerja yang kini menjadi benchmark kepada industri seperti hari-hari sewaktu membentuk Sheila Majid serta kelahiran Zainal Abidin pasca Headwind – walaupun di sini tak ramai yang menghargai pencapaian itu.

“Kalau kita nak keluarkan muzik yang akan dihormati diperingkat dunia, kita kena cari muzik kita, rentak kita, rythm kita. Semua ni dah ada dalam muzik Melayu, cak lempong dan sebangainya. Ini yang orang nak tengok dan ini yang kita kena buktikan. Tak payah menyanyi susah payah sebijik muzik-muzik mat saleh sebab diorang dah tak hairan. Mainlah muzik jenis apa pun, tetapi kamu perlu menggali akar muzik sendiri sebagai asas.”

Turut menjadi topik malam itu ialah perkembangan semasa industri hiburan; kuota 90:10 dan juga pengaharaman konsert oleh kerajaan Pas di Kedah. “Ini semua (kuota) mengarut! Bila dah tak boleh nak bersaing, kita nak halang orang lain tak bagi masuk pulak. Zaman 80an dulu pun banyak muzik Indonesia yang masuk, kenapa tak bising-bising pun waktu itu?”

Apa yang penting, kalau betul nak jadi pemuzik, persiapkan diri. Jangan banyak mengomel tentang kebebasanlah, tak ada duitlah dan entah apa-apa alasan lagi. Sekarang masa bekerja. “Abang rasa ada baik orang muda-muda yang banyak main peranan dalam industri sekarang ni dan orang tua-tua macam kami ni jadi penasihat…”

-Hafiz Hamzah-

promo

In Uncategorized on September 17, 2008 at 9:40 am

For some good cause, for our heritage. SEIR

bingkisan dari utara

In dilema muzik, ide on September 8, 2008 at 2:13 am

Setahun lalu, Fadly Fahmi Mokhtar berhasrat menjadikan Alor Star tempat mencari rezeki setelah lama bergelumang dengan kehidupan kota besar Kuala Lumpur. Bagaimanapun, dia tidak menyangka selepas Pilihanraya Mac lalu, sedikit sebanyak ia telah mengubah dunia sebelah sana dan dia yang selalu hidup dalam muzik, terpaksa mengubah sedikit gaya pemikiran dan akur dengan kenyataan, kot. Baru-baru ini Fadly Fahmi Mokhtar menghantar satu bingkisan dari utara, bercorak sebuah pendapat mengenai beberapa perkara. Sila baca, ya? SEIR

Antara irama lagu dan kebebasan bermuzik.

Oleh: Fadly Fahmi Mokhtar

Ada muzik yang datang dari Indonesia ke Kuala Lumpur, dari Amerika ke Johor Bahru, dari Jamaica ke Kedah dan dari Eropah ke Pulau Pinang. Ada juga yang datang dari padang pasir, dan ianya di kenali sebagai muzik dari padang pasir. Setiap masyarakat di dunia ini memilih muzik sebagai satu bahan untuk pentaskan budaya masing-masing di samping menyampaikan ideologi-ideologi berteraskan pemahaman masing-masing, apa yang dipercayai dan apa yang tersirat antara mereka. Jelasnya muzik yang berteraskan fahaman cinta di terima ramai seluruh dunia amnya.

Jika di Indonesia muzik Dangdutnya, di Jamaica dengan muzik reggae mereka. Itu pilihan masing-masing. Di Amerika, muzik digunakan sebagai pentas terbaik meluahkan apa yang tersirat.

Di Kedah pula, konsert yang melibatkan muzik rock, reggae, pop dan dangdut adalah tidak dibenarkan. The Star melaporkan Kerajaan Negeri Kedah melaksanakan satu formula untuk mengelakkan gejala sosial yang telah lama ada sejak dari dahulu di Kedah dan dengan itu konsert yang melibatkan muzik rock, reggae, pop dan dangdut adalah tidak dibenarkan.

“We are currently formulating a comprehensive guideline for concerts. “Until then, concerts of such nature are banned,” State executive councilor Dr Ismail Salleh, taken from The Star Online 29 August 2008.

Dari sini, kita melihat bahawa sebarang unsur-unsur muzik tersebut sesama sekali tidak dibenarkan. Adakah artis yang membawakan aliran muzik-muzik tersebut yang tidak dibenarkan untuk membuat persembahan, atau muzik mereka, atau jika artis yang membawakan unsur-unsur muzik tersebut dan imej muzik mereka yang tidak dibenarkan? Atau hanya muzik yang berunsurkan ketuhanan sahaja yang dibenarkan?

Lagu-lagu ketuhanan banyak dikaitkan dengan muzik ala nasyid dan bila terdengar muzik ala nasyid kita terbayangkan penggunaan alat muzik gendang yang menyerlah, kedengaran seperti muzik dari padang pasir. Di Indonesia, sebuah kumpulan muzik pop, Ungu, berjaya menambat hari ramai dengan lagu ketuhanan mereka, Andai Ku Tahu. Di Amerika, Native Deen, yang terdiri dari beberapa orang kulit hitam yang beragama Islam merombak muzik jenis hip-hip r&b untuk menyampaikan dakwah Islam. Ini adalah muzik citarasa masyarakat Amerika, yang rata-ratanya pemuda dan pemudi. Harus di ingatkan juga di Amerika juga ada aliran jenis muzik ‘Christian Rock’ yang juga artisnya itu juga terkenal di Malaysia.

Di Malaysia pula, Akademi Nasyid melahirkan idea-idea baru tentang muzik berunsurkan Islam. Di peringkat akhir siri tv realiti tersebut membariskan pemuzik handalan sebagai tunjang belakang muzik di samping kretiviti peserta pertandingan. Ada juga yang bernasyid dengan menggunakan gitar dan mereka mempunyai kepandaian untuk melakarkan melodi menggunakan suara dengan teknik-teknik yang terbaik, dengan harapan untuk menjuarai Akademi Nasyid tersebut.

Kehadiran Ramli Sarip dengan lagu Perjalanan Hidup cukup menghiburkan. Sebuah lagu yang sedap menceritakan tentang kehidupan di muka bumi Tuhan. Menambat ramai orang-orang termasuk dewasa.

Apa yang dikatakan oleh Dr Ismail Salleh adalah sesuatu yang tidak dapat ditakrifkan secara tepat dan membingungkan ramai pihak dan artis sendiri. Bagaimana jika artis itu membawakan muzik yang tidak kedengaran seperti muzik Nasyid padang pasir, tetapi berunsurkan ketuhanan disamping campuran kretiviti dari pelbagai jenis muzik supaya ianya sedap didengar oleh semua. Muzik yang sedap didengar pasti akan menambat ramai.

Kumpulan Raihan muncul dan berjaya menawan ramai kanak-kanak, tetapi orang dewasa juga perlukan sentuhan muzik untuk kita sampaikan apa yang sepatutnya disampaikan mengikut tahap kedewasaan mereka, dan jika kita ingin menjaga moral para remaja kita, harus juga kita menggunakan muzik yang menjadi citarasa remaja masakini. Sedangkan muzik yang tergolong dalam muzik pop dan rock tidak dibenarkan langsung di Kedah dan kita telah membuang jenis muzik yang diminati remaja. Di Kedah, konsert rock juga telah lama tidak ada. Bukan hanya setelah apabila kerajaan PAS mengambil alih, dan pastinya dari dahulu juga gejala sosial telah ada di Kedah.

Peraturan yang ditetapkan JAKIM dalam pertandingan Nasyid kebangsaan sendiri seharusnya di pertimbangkan demi mewujudkan satu jawatan kuasa yang lebih terbuka dalam menilai satu-satu artis yang membawakan muzik-muzik mereka. Dari peraturan tersebut tercatit nasyid tradisi bermaksud lagu yang mengandungi unsur-unsur antaranya bayati, nahwan, sikah, ras, sobah, hijaz dan lagu nasyid moden ialah lagu selain daripada lagu tradisi tetapi hendaklah tidak termasuk rentak seperti rock, heavy metal, jazz, hip hop dan rap. Sedangkan rentak seperti jazz, hip hop dan rap adalah muzik kegemaran remaja masakini. Jika rentak ini dibawakan dengan mesej ketuhanan pasti dapat menarik remaja untuk mendengar dan menghayati lirik-lirik di dalam lagu tersebut. Bukankah ini secara logiknya kita fahami dapat mengawal gejala sosial dan keruntuhan moral.

Lagu Malique berduet dengan M Nasir, Mentera Beradu amat tepat dengan citarasa remaja. Lagu Alhamdulillah dari Too Phat juga. Tetapi ini bukan dalam kategori Nasyid Moden kerana terdapat unsur-unsur rap dan hip hop. Lagu ketuhanan, Andai Ku Tahu, dari kumpulan Ungu tidak dikira Nasyid Moden, kerana terdapat unsur pop.

Membuat lirik ketuhanan itu memerlukan keikhlasan dari pencipta. Dan untuk memenangi pertandingan ini gubahan lagu harus di ambil kira oleh peserta dan kretiviti mereka terbatas dengan peraturan jenis muzik. Tetapi jika unsur-unsur pop dan jazz di gunakan pasti dapat menambat ramai untuk mendengar lagu-lagu ketuhanan. Kretiviti peserta untuk menyampaikan mesej cintakan Tuhan dan Islam juga adalah utama. Jika semua ini diambil perhatian oleh Dr Ismail, pasti ramai anak-anak muda di Kedah ini yang lebih berkeyakinan untuk tidak membuat aktiviti membuang masa seperti merempit dan maksiat. Semoga kita kearah kebaikan.

 

stesen radio la la la…

In anekdot on September 3, 2008 at 9:13 am

Mendengar radio adalah perkara membosankan. Maksud di sini adalah pilihan lagu. Banyak yang diulang-ulang. Kalau seharian kamu mendengar radio, mulai hari ini tolong kirakan berapa banyak lagu yang dimainkan secara berulang-ulang dan bilangan ulangannya. Mereka akan katakan yang pendengar yang ingin mendengar lagu-lagu itu semua. Ok, betul. Kita terima.

Kerana dah malas dengan semua ini, saya kadang-kadang tidak menghidupkan langsung radio di dalam kereta (itu adalah satu-satunya waktu radio berkumandang di dalam hidup saya).

Untuk itu, minggu lalu saya menghabiskan banyak duit untuk membeli CD-CD yang mungkin dapat membantu menceriakan hidup. Hampir semua album daripada lapan buah semuanya yang dibeli adalah daripada tahun 90an. Mendengar kebanyakan muzik-muzik baru tidak memberikan kepuasan kerana saya ada masalah dengan radio – atau stesen radio sebenarnya! Jadi, muzik yang selalu berkumandang di corong sana – atau yang sering berasosiasi dengannya – saya sudah muak.

Ini lapan album yang mengembirakan hati:

1. Alice In Chains – Jar Of Flies EP (1994)
2. Meor – Sakrat (2008)
3. The Stone Roses – Second Coming (1994)
4. Meat Puppets – Too High To Die (1994)
5. Rancid – …And Out Come The Wolves (1995)
6. Sigur Ros – Takk (2005)
7. Radiohead – My Iron Lung (1994)
8. Embrace – The Good Will Out (1998)

Mungkin kamu juga mahu berkongsi album-album yang boleh membantu saya untuk jadi lebih gembira? Harap bantu!

– Hafiz Hamzah –