rawkcarpark

Archive for March, 2009|Monthly archive page

cobain unseen

In buku on March 17, 2009 at 9:00 am

cobain-unseen

Cobain Unseen
Charles R. Cross
2008

Dalam tahun 1999, Charles R. Cross masuk ke sebuah apartmen di Olympia, Washington yang waktu itu dihuni oleh seorang penuntut kolej. Ini berlaku empat tahun selepas mendiang Kurt Cobain merempuh kematian dikemuncak kariernya. Bersama-sama Cross ialah Tracy Marander, bekas teman wanita Cobain di awal hari-hari yang penuh sukar ketika Nirvana masih belum punyai nama yang cukup berpengaruh.

Di apartmen satu bilik itu, mendiang Kurt menyewa – dengan kos $137.50 sebulan – sewaktu beliau masih lagi seorang pemuzik yang ada kegahairahan tersendiri dan menghadapi kesukaran untuk meyakinkan orang (syarikat rakaan) tentang muzik yang dia hasilkan.

Di ruang inilah Kurt menghabiskan banyak masa dan imaginasi beliau untuk menghasilkan lagu-lagu hits Nirvana, walaupun ketika itu tiada siapa yang kisah dengan Kurt mahupun band yang digerakkannya. Antara lagu besar yang lahir di situ ialah Smells Like Teen Spirit yang kemudiannya, menurut Kurt sendiri, dia tidak selesa (tidak suka) dengan perkembangan lagu berkenaan, terutama ketika ia mula mencapai tahap komersil yang keterlaluan dengan pengaruh MTV.

Ini hal-hal yang ditemukan oleh Cross ketika dalam proses menulis biografi Heavier Than Heaven (2001). Kini, Cross melalui buku baru beliau Cobain Unseen memaparkan pula sisi lain Kurt yang tidak banyak diketahui umum semasa hayatnya. Buku ini tidak menengetengahkan tulisan-tulisan dan laporan panjang seperti buku sebelumnya.

Cobain Unseen menyingkap tentang keanehan dunia Kurt, yang sebagai seorang inividu luar biasa sentiasa mempunyai selera tinggi terhadap seni yang lain dan bukan hanya muzik. Lukisan, kolaj, painting dan sebagainya mengiasi minda Kurt yang secara tidak langsung memberi pengaruh kepada hasil kerja muzik beliau.

Kurt membaca. Dia di dalam satu fasa ketika pembikinan satu daripada album Nirvana (In Utero) menulis surat kepada William S. Burroughs untuk menjemput beliau tampil di dalam video muzik mereka. Permintaannya ditolak. Tetapi, selepas daripada itu, Kurt dengan inisiatif sendiri turun berjumpa dengan penulis yang dikaguminya ini.

Ramai juga beranggapan yang Nirvana adalah sebuah band yang muncul dan berjaya dalam hanya satu malam. Yang sebenarnya, menurut Cross, band ini sudah bergerak dengan segala kepayahan dan tour selama empat tahun sebelum ditawarkan kontrak rakaman. Dalam proses ini, Kurt kerap menulis surat kepada syarikat-syarikat rakaman supaya memberi respon ke atas demo yang dihantar.

Dalam satu nota Kurt – mungkin kebiasaannya begitu – dia menulis ini, bersangkutan dengan kesanggupan mereka untuk mendanai sendiri kos produksi album Nirvana jika syarikat keberatan untuk melakukannya: “… majority processing of 1,000 copies of our LP, and all of the recording cost.”

Bintang Februari ini sudah tiada. Namun legasi seni – yang paling major ialah muzik – ditinggal untuk menjadi tatapan sesiapa saja yang mahu tahu tentang susuk ini. Dia mati (membunuh diri atau dibunuh) dan hanya kerja-kerja tangan beliau yang mampu berbicara tentang hidupnya. Jika betul dia membunuh diri dengan dadah dan senapang, maka ilusinya sejak kecil untuk mengambil nyawa sendiri sudah tertunai.

Kurt Cobain seorang aneh yang belingkar dalam seni-seni yang dalam dan terlalu serius.

Hafiz Hamzah

sore

In album on March 10, 2009 at 9:52 am

sore2

Sore
Ports of Lima
Aksara Records
2008

Sepulang dari Jakarta Februari lalu, seorang teman menghadiahi saya beberapa buah tangan yang wujud hanya dalam dua format – himpunan kertas yang dipanggil buku dan juga cakera padat muzik artis tanah seberang.

Nidji adalah sebuah band yang saya rasa ada paparan muzik yang jelas dan mungkin kuat juga, tidak seperti kebanyakan hasil kerja band-band sana yang dilambak ke Malaysia. Maka dengan itu, cukup disedari,  album Top Up daripada band ini adalah satu daripada tiga CD yang saya terima.

Ada dua lagi album yang terselit. Mulanya, saya tidak begitu memberi perhatian yang detail kepada kedua-dua mereka. Namun, setelah ia tanpa gagal berputar terus-menerus dari dalam kereta dan di tempat kerja, lama-kelamaan dua album tersebut semakin menunjukkan belang. Lagu-lagu yang terhimpun seperti memberi isyarat bahawa mereka harus di dengari (dengan ketekunan)!

Dua album yang dimaksudkan ialah Sore – Ports of Lima dan Gugun and the Bluesbug – Turn It On.

Sore, melalui album kedua mereka ini – yang saya rasa tidak cukup nilai ‘komersil’ untuk dicampak ke Malaysia – mempamerkan satu ekplorasi muzik yang penuh warna-warni. Konstruksi yang ada pada kebanyakan komposisi muzik mereka tidak mudah dicerna. Mereka, pada tingkat tersendiri menggarap satu macam keasyikkan muzik moden yang longgar dan kompleks sekaligus penyuntik rasa pop yang melankoli. Muzik sebegini jarang gagal dan tidak memualkan.

Sore menganjalkan sejauh mungkin had-had yang mungkin memerangkap muzik mereka. Album ini bereksperimentasi bukan saja dengan aspek penulisan dan struktur lagu, tetapi juga melalui campur aduk alat muzik yang pelbagai – moden dan tradisional – dan tetap menjadikan semua ini relevan dengan muzik mereka. Orang akan menyukai atau tidak, itu bukan urusan mereka.

Melodi yang ada pada setiap lagu membawa bersama perasaan dan emosi yang dalam. Vokalnya tidak lunak – atau dalam bahasa mudah ‘tidak sedap’ – tetapi alunan suara yang ditonjolkan, dalam segala kesederhanaan yang ringkas, sentiasa memberi cerminan yang agak jelas ke atas cerita dan lirik yang digunakan.

Band ini tidak meletakkan apa-apa hal sebagai sentral perhatian mereka. Sekurang-kurangnya itu yang tampak pada reka desain kulit album dan pakej album ini. Ia seperti sebuah pendekatan dramatik, dengan kisah-kisah yang mahu disampaikan – dan mereka sebagai pelaku.

Mendengarkan album ini adalah seperti kita sedang belajar untuk menajamkan deria rasa agar dihari depan, kita akan segera menghidu muzik-muzik ‘lain’ yang lebih enak dan tidak lagi memberi perhatian kepada muzik yang berulang-ulang.

Hari ini kita mungkin percaya bahawa lagu-lagu yang keluar di corong radio adalah muzik yang segar, pop serta rujukan yang baik. Muzik yang kita dengar diradio – walaupun tidak sedap – akan menjadi ‘sedap’ juga bukan kerana ia bagus, tetapi disebabkan hari-hari kita menghadap benda yang sama itu.

Sore ini membuatkan saya percaya bahawa bukan muzik yang menjadi ukuran utama stesen radio – atau diperkenalkan di Malaysia – untuk memutarkan sesebuah lagu atau muzik. Yang menjadi keutamaan adalah bisnes mereka. Dengan itu, saya secara peribadi merasakan yang muzik-muzik yang baik sentiasa bergerak dan berkembang dengan kapasiti dan kualiti mereka yang tersediri untuk mendapatkan khalayak pendengar yang lebih luas.

Dengan mendengar kerja muzik Sore, belum ada lagi muzik-muzik band Indonesia yang diperkenalkan di sini boleh menandingi muzik yang Sore tawarkan. Saya juga percaya, di Malaysia ketika ini ada band-band yang berteraskan rock mampu menandingi kualiti muzik sebegini – sekiranya sikap tidak menjadi penghalang yang traumatik.

Jumpa mereka di sini.

* Gugun akan disentuh di lain waktu.

Hafiz Hamzah