rawkcarpark

Archive for October, 2007|Monthly archive page

suram yang tidak diikhtibarkan

In dilema muzik on October 31, 2007 at 7:02 am

Oleh Elle J Hafiz 

Selepas beberapa ketika – tahun sebetulnya – khalayak muzik Malaysia masih lagi terperangkap dengan permainan yang tidak difahami.
Kegagalan kita untuk mengeluarkan diri dari hambatan trauma muzik Indonesia yang berlonggok di sini harus diseluti dengan
pengamatan yang matang.

Saya mengutarakan hal ini (lagi) – walaupun isu lapuk – adalah kerana belum ada tawaran penyelesaian yang kelihatan.

Tidak perlu lagi menyalak tentang peranan radio, sikap masyarakat dan apa saja alasan sebelum ini. Kini masa untuk berfikir.
Penggiat muzik, penyanyi serta pemuzik itu sendiri perlu proaktif. Bukan lagi menjadi gergasi mandom yang hanya duduk dan berdehem dengan maksud mahu menggegarkan gema gua.

Malaysia, walaupun mempunyai ramai penyanyi dan pemuzik yang bagus, tetap tenggelam dengan kebodohan sendiri. Kita tidak menawarkan sesuatu yang benar-benar menyanggah pandangan sinis pihak lain, termasuk masyarakat sendiri untuk menerima dengan lapang dada muzik yang kita ada.

Ini semua di atas diri penglibat industri muzik itu sendiri, bukan orang lain.

Satu perkara yang saya terkesan dan mahu dilontar di sini adalah kenyataan ini; hasilan muzik dari Malaysia pada dasarnya tidak
mempunyai isi atau substance yang betul-betul kuat. Ini bukanlah sweeping statement secara total, tetapi lebih kepada gambaran realiti yang ada.

‘Substance’ yang dimaksudkan di sini adalah ‘pengalaman, perih-jerih, suka gembira, lintang-pukang’ atau apa saja naluri yang akhirnya menyentuh secara langsung halwa pendengar. Muzik sebenarnya bukan muzik. Muzik hadir dengan satu lenggok kuasa intimasi
antara sang penyampai dengan pendengar. Perkongsian rasa. Perhubungan langsung atau masalah yang berpijak pada persekitaran yang menginspirasikan muzik tersebut. Soal komersil itu hal lain.

Penulisan muzik pada kasarnya di sini ada terkandung sifat-sifat yang dinyatakan tadi. Tetapi tidak dapat dihalusi dengan penuh
mesra oleh individu-individunya (penggiat) kerana satu faktor yang harus diakui semua – kemampuan intelektual yang terlalu rendah.
Muzik perlu dilihat sebagai cermin untuk proses penjiwaan yang sarat dan bernas. Tidak menjadi masalah jika mahu memainkan muzik
apa pun, tetapi jangan malas. Jangan malas mengaji, jangan malas meneroka daerah-daerah baru.

Proses penghasilan seni sebenarnya terpengaruh secara langsung dengan pengalaman manusia melalui setiap zamannya. Jika muzik sekadar untuk berhibur dan untuk hal yang ‘ringan-ringan’, bersedialah untuk menggali kubur sendiri.

Substance ini tadilah yang sepatutnya ditelitikan dan diteladani untuk mengukur kualiti halus sesuatu muzik. Teknologi rakaman, canggihnya peralatan, efek, gitar dan sebagainya hanyalah ‘adding values’ yang jika menurut pandangan saya, tidak banyak membantu
pun untuk menentukan darjat mana-mana muzik.

Saya marah dengan situasi tanah berdaulat ini menjadi tempat pembuangan sisa-sisa muzik dari Indonesia, kerana yang masuk ke sini bukan semuanya / tidak banyak yang betul-betul bagus. Di sebabkan sikap dan daya fikiran kita yang sudah sebati sebagai golongan konsumer juga, kita tidak lagi dapat membuat pertimbangan yang adil.

Jangan marah jika saya mahu katakan; kita bodoh!
 

dalam pelangi

In ulas on October 23, 2007 at 4:41 pm

Oleh Elle J Hafiz 

Band besar British, Radiohead keluar dengan album terbaru mereka – In Rainbows. Namun kali ini – setakat coretan ini ditulis – mereka tidak akan memasarkan album ini di mana-mana premis.

Ia hanya akan terdapat di laman www.inrainbows.com dan dijual secara digital.

Harga? “Suka hati kau!” Serius, harga tiada yang tetap. Semua bergantung kepada si pembeli yang akan menilai sendiri. Ini sama macam yang Afdlin Shauki pernah buat – ambil CDnya, dengar dan bayar berapa yang anda suka. Tetapi Radiohead berbuat demikian di awal nyawa album itu, bukan di waktu ‘senja’nya.

Review pendek. Radiohead masih lagi dengan lenggok eksperimental ala Hail To The Thief – atau ala album Kid A ke atas.

Suara Thom Yorke diterjemahkan lebih ‘masak’, tidak terlampau banyak gaya melaratnya disuntik. Beat dan aroma kelam masih bertakhta dan muzik yang lebih sofistikated barangkali.

Sumbat pemain MP3 mini dengan  trek-trek baru ini dan kepada yang mahu mendengar dengan teliti hasilan terbaru Radiohead ini, jangan dengar sambil memandu. Serkup muka dengan bantal dan masuk posisi tidur untuk lebih selamat.

Alam khayal warna pelangi akan muncul dan mungkin juga pengalaman ala psychedelic akibat dadah LSD dapat dirasai – secara sihat!

tentang filem, muzik dan idealisme

In band, berita pantas, filem, ide, ulas on October 19, 2007 at 8:04 am

Dia anak muda lingkungan 20an yang baru menamatkan pengajian. Membakar semua duit di dalam kocek dan mendermakan apa saja saki-baki wang di bank.

Dengan sebuah Datsun buruk, menekan pedal minyak dan terus pergi tanpa toleh… untuk meneroka satu sisi perjalanan yang didorongi kalut fikiran dan idealisme semangat muda sampai ke hujungnya – jalan yang tiada simpang dan pusingan balik.

Ini satu ekstrak ringkas daripada judul buku Into The Wild karangan Jon Krakauer yang berlatarkan kisah benar pemuda bernama Chris McCandless. Saya pertama kali menatap buku ini ketika masih di kampus, kurang lebih empat tahun dulu. Membaca kisah ini betul-betul memberi seribu satu inspirasi dan membuka daerah baru dalam kotak fikiran ketika itu. Saya belajar kata idealisme daripada buku ini – yang diperkenalkan oleh seorang teman. Jiwa dengan mudah terkesan dengan cerita yang disampaikan dengan ringkas dan padat oleh penulis buku berkenaan.

Ironinya begini. Sean Penn, aktor dan pengamal filem tersohor membuat kenyataan yang dia tertarik dengan kulit buku yang pernah saya kagumi itu. Dan dari situ, beliau mengambil buku berkenaan untuk diadaptasikan menjadi sebuah filem yang kini sudah pun siap pembikinannya. “Reka kulit buku itu dengan gambar bas usang dengan tajuk Into The Wild sungguh merentap perhatian saya,” ujar Sean dalam satu temuramah. Susulan daripada ini juga, seorang lagi nama besar turut bergelumang dengan perkara sama. Eddie Vedder, setelah 17 tahun mengepalai Pearl Jam kini mahu di’ceraikan’ seketika untuk terlibat dengan pembikinan album solo bagi dijadikan album soundtrack filem berkenaan – dengan tajuk yang sama.Ketika artikel ini ditulis, saya sudah mendengar sepintas lalu album itu. Masih tipikal gaya Vedder dalam Pearl Jam, tetapi kali ini pemberat yang terkandung di dalam lirik dan rintih suara itu lebih penting dan dominan. Ia hanya dapat dirasai jika pendengar berkongsi pahit maung pengalaman yang seakan sama dengan apa yang disampaikan oleh tiga medium ini.Sean yang mula berkenalan dengan Vedder ketika kerja-kerja filem Dead Man Walking pada tahun 1995 meminta beliau untuk berbuat sesuatu terhadap filem terbaru itu dan album solo Vedder itulah hasilnya.Kini, tiga elemen berlainan disatukan untuk menawarkan sesuatu kepada khalayak. Ia sekaligus menjadikan projek ini sesuatu yang istimewa dan saya nantikan… dan nanti, harus dikritik.

Into The Wild kini mengandungi tiga semangat yang berbeza. Hasilan projek ini nanti seharusnya menjadi kreativiti seni – yang membawa sarat maksud berseni – berdiri sebagai hamparan karya yang tercetus daripada kepayahan dan sengsara.

Vedder, walaupun ketika diminta untuk menghasilkan muzik bagi filem ini sebenarnya belum pernah membaca buku berkenaan, terpaksa memisahkan dirinya dengan segala kekayaan dan kesenangan yang dikecapi ketika ini. Vedder menonton dulu filem tersebut sebelum menulis muziknya.

Katanya, dia tidak percaya dengan kerja seni yang terhasil dengan kesenangan. Dia mengembalikan dirinya kepada zaman remaja – seusia dengan McCandless – dan mahu merasakan kembali semua keperitan hidup yang pernah dilalui.

Ini kerja seni yang berinteraksi dengan persoalan kehidupan. Jika belum baca buku ini, carilah. Tunggu filem ini nanti – walaupun belum tentu ditayangkan dipawagam kerana ia bukan karya pop. Terakhir, dengarkan juga album dari Vedder. Tetapi kali ini bukan sebagai lagu, tetapi intipati himpitan psikologi yang cuba disampaikan. Dengar bukan dengan halwa telinga, tetapi dengan hati.

Saya sudah merasai dua daripada tiga semangat ini. Hanya menanti visual filem dari Sean Penn saja.

“I now walk into the wild.” – Chris McCandless

* Terbaru, Eddie Vedder juga menyumbang lagu bagi soundtrack filem tentang perang Iraq, Body of War.

Klik sini untuk laman rasmi filem Into The Wild

Fiksi Urban Jaya

In fiksi cerita ceriti, ide on October 9, 2007 at 9:12 am

Harun membuka kantung duit berisi duit penuh berikat-ikat. Matanya berkaca dan tiada peluh dingin yang muncul pun kerana semuanya sudah terbukti kini. Rejekinya amat murah!

Harun seorang pemuda kampung. Tetapi gaya hidup bohjan ialah dalam darah dagingnya. Matanya yang rabak menunjukkan dia seperti seorang penghisap dadah tetapi sebenarnya dia langsung tidak pernah menyentuh langsung najis yang lebih kotor dari najis itu.

Dia sebenarnya seorang imsomniak. Tak boleh tidur malam (tak payah cakapla semua dah tahu). Dia menghabiskan masa malamnya dengan muzik dan amat suka mendengar radio Era… Semenjak Isma Halil sudah hilang dari corong-corong radio dinihari, hatinya kosong. Hanya radio Era yang menjadi pujaan hatinya terutamanya DJ Era rock yang terkenal tu… ntah tak ingat namanya lah sekarang.

Nanti cerita lain.

Back to Harun… Nama penuhnya Harun Din Al Hafidzoh. Entah kenapa nama tu jadi pilihan emak-bapa angkatnya taktaulah. Ya… tuan-tuan, puan-puan, dia anak yatim… kesian…

Balik kepada Harun, dia ialah seorang peminat muzik rock dan menghabiskan masanya dengan mendengar lagu-lagu rock kapak yang dia sendiri kenapa orang menggelarnya rock kapak. Penulis tahu, tapi buat masa biar penulis sediri yang simpan untuk diri penulis.

Berbalik kepada Harun… Harun ialah seorang pemuda yang bijak dan pandai. Menamatkan alam persekolahan dengan cemerlang, dia mendapat pangkat 1 dalam SPM dan melanjutkan ke pra-universiti sebelum terperangkap…

Dia terperangkap dalam alam ilmu-ilmu ghaib sehingga menjadikan dirinya ‘hilang’ selama hampir setahun dan tidak berjaya menamatkan pengajian tingginya. Muzik rock menjadikan Harun kembali ke ‘pangkal jalan’ dan meneruskan kehidupan walaupun dia terpaksa menghadapi tahap imsomniak yang tinggi.

Harun sebenarnya amat segak dan tinggi lampai. Berkumis nipis dan berjanggut kecil serta berambut lurus, dahinya selalu ditutupi helaian lebat rambutnya yang dipotong sebulan sekali Dia tak pernah mengenakan anting-anting (semata-mata mahu menunjukkan seseorang adalah bintang pop, katanya) atau gelang berkilat-kilat, jauh sekali untuk berambut dreadlock.Dia seorang yang sederhana.

Tetapi kesederhanaan itu digunakan sebaiknya untuk menjadi bohjan nombor satu kawasan Melawati dan sekitarnya. Dengan berkereta Proton Saga 1.8 sahaja, dia kerap mengangkut awek-awek cantik yang ada sahaja memenuhi kereta dan terus diangkut ke rumahnya. Hampir setiap hari, ada sahaja gadis comel dan seksi yang dikepitnya sehinggalah pada suatu hari…

Bersambung di masa depan… tak tau bila. Jumpa lagi…

Harun suka membaca majalah paling meletup di Malaysia, hasil nukilan pelukis bernama Bong.

Ikhlas Seer