rawkcarpark

Archive for February, 2010|Monthly archive page

jayzuan @ love-fi

In album on February 25, 2010 at 9:08 am

Mohd Jayzuan
Love-fi
2008

Petang itu, di Rumah YKP di Ipoh, Mohd Jayzuan (Jay) bercerita ringkas tentang proses rakaman album kedua beliau. Dan juga tentang muziknya, jiwanya. Syd Barrett antara nama yang disebut-sebut. “Aku nak buat hal-hal muzik macam dia. Orang yang dengar Syd akan tahu apa maksud aku,” katanya.Yang dimaskudkan dengan Syd itu ialah muzik, nyanyian dan album bekas anggota Pink Floyd itu. Vokal meleret, tak sedap, slacker dan ringkas. Tetapi masih mahu jujur, sekurang-kurangnya untuk diri sendiri dan tidak mengambil kira sangat cakap-cakap orang. “Aku suka kejujuran dia dalam album-album solo yangpernah dirakam,” tambah Jay lagi.

Dan, seperti itulah kerja-kerja muzik Jay di dalam album solo sulung ini, Love-Fi. Seperti yang ditulisnya pada kulit dalam CD ini; dia bukan seorang penanyi yang baik. Tetapi, masih setia dengan muzik yang dipercayai itu. 14 trek lagu ringkas, off-tune, sumbang dan menulis tentang hal-hal sekeliling dirinya sahaja.

Kini, dengan sentuhan rakan-rakan, dia sedang melangsaikan proses produksi album kedua. Rakaman telah siap. Dijangkakan akan dipasarkan menjelang Mac atau April nanti. “Untuk album yang ini, banyak kelainan akan diketengah. Mungkin pendengar yang suka album pertama akan susah nak terima arah muzik pada album kedua ini. Tapi, itu yang aku nak buat.”  Sama ada mahu bersetuju atau sebaliknya, itu hal masing-masing yang mendengar. CD ini masih boleh didapati daripada tuan empunya badan. Boleh dihubungi melalui emel mohdjayzuan@gmail.com dan tanyakan sendiri kepada Jay.

-HH, 25 Februari 2010

libretto

In band on February 25, 2010 at 8:24 am

Libretto
Disc:Losure
2008

Libretto meraikan muzik-muzik millenium. Kitaran emosi yang sarat, variasi melodi ringan dan menggenggam halwa telinga generasi-generasi peminat muzik dan bunyian baru. Kerap mengingatkan kita kepada band-band seperti Sparta. Dan Hundred Reasons mungkin, yang penuh dengan pernyataan-pernyataan muzik yang tidak mahu pemusatan stereotaip.

 Rakaman EP ini kemas dan jelas, dengan lima lagu (dan muzik) yang akan menyenangkan selera kamu. Ia dibuka dengan susunan muzik Synthesizer yang ringkas padat. Juga ditutup dengan lagu sama di dalam komposisi yang berbeza. Di antara dua lagu ini, bunyi-bunyian (dan kesan bunyi) alat muzik elektrik dan elektronik yang eksperimental akan kedengaran dan membuai-buai juga. Entah macam mana, telinga perempuan lebih lekas meramahi muzik Libretto. Sekali-dua dipasangkan, sudah tersangkut hati. Buat ketika ini, Libretto berhibernasi disebabkan tuntutan kerja hakiki. Beberapa waktu di dalam tahun 2008, mereka pernah membuat penampilan live, termasuk di Laundry Bar, The Curve – dan mendapat pujian berbekalkan muzik dan kesungguhan yang dipamer.

Kepada yang terlepas untuk mengenali band ini, salinan EP Disc:Losure masih boleh diperoleh dengan menghubungi terus Libretto; libretto_band@yahoo.com dan nazrulhakimputra@yahoo.co.uk atau layari myspace.com/librettoband.

Jangan merajuk jika mereka lewat membalas emel-emel kamu, kerana mereka mungkin sedang berada di tengah lautan entah di mana, mencari ilham-ilham baru untuk membikin muzik lagi.

Selamat menikmati.

Lagu-lagu:

Skies & Robots (Lufturnich)
Novelist, The
Ho-Ja
They’re Here But We Ain’t Ready
Skies & Robots (Mechanism)

-HH, 25 Februari 2010.

minggu ini…

In berita pantas on February 23, 2010 at 5:22 am

.

kertas kerja: ereksi muzik malaysia 2010

In dilema muzik, Esei, ide, kultur/budaya on February 18, 2010 at 8:09 am

Sudah 10 tahun kita berada di era milenium. Bagaimana mahu menggambarkan muzik Malaysia dalam masa terkini. Tahun 2010 bakal menyaksikan demam indie akan terus melata tapi entahlah dalam bentuk mana. Sesungguhnya! Sesungguhnya citarasa muzik pop Malaysia semakin tumpul apabila lagu seperti Cari Jodoh (tak tau tajuk sebenar) dari band Wali misalnya menjadi pilihan pertama pengunjung-pengunjung pusat karaoke. Aku tahu sebab semalam baru aku pergi sana… OKlah.. check this.

Entah apa sebabnya lagu seperti itu jadi kesukaaan? Mungkin juga…. ia adalah seperti demam juga, ia akan terus berjangkit tetapi mungkin tidak menghinggapi pada orang yang punya imun tinggi, iaitu yang bercitarasa tinggi terhadap muzik, yang amat kecil bilangannya pula.

Yang akan selalu dijangkiti mungkin mereka yang suka mendengar radio awam yang percuma, yang suka tergelak-gelak dengan kelakar DJ-DJ selebriti dan yang suka terbabit dalam mengenakan orang lain dalam pangilan-panggilan palsu DJ-DJ ini. Yang pasti, mereka mahukan hiburan ringan dan santai, tak perlu bersusah-payah memuat turun (dalam konteks sekarang) lagu-lagu dari Massive Attack, Sigur-Ros, Radiohead, Bob Dylan ataupun sanggup mendengar Mogwai serta membeli CD Seven Collar T’Shirt misalnya.

Ketaksuban terhadap radio awam boleh dihentikan dengan mendengar lagu-lagu pilihan sendiri, yang sudah tentu dimuat-turun dari internet, dalam konteks sekarang. Sesungguhnya, sokongan terhadap industri muzik Malaysia boleh ditanya kepada dada dan selera tuan-puan sendiri. Di sini disenaraikan beberapa unjuran bentuk-bentuk muzik yang digemari tahun 2010.

1. Muzik Indonesia – muzik mereka akan terus datang dalam bentuk yang pelbagai sama ada yang tidak ada kualiti ataupun dalam bentuk runut bunyi filem, lagipun filem Indonesia semakin menampakkan bentuk yang meluas kini. Lebih banyak band baru dari sana akan datang ke sini, dengan harapan akan terus dapat kerja di konsert-konsert tajaan syarikat telekomunikasi.

2. Indie Malaya – Tak perlu sebut nama mereka yang dah popular, akan ada nama baru yang naik tahun ini dari kalangan pemuzik bebas. Yang sudah berjaya, hanya perlu tepati masa dan tidak banyak terbabit dalam godaan serta soalan wartawan-wartawan ‘lembut/pejal’ yang langsung boleh membawa ke pusat hiburan/rumah mereka/hotel-hotel untuk aktiviti tidak sihat. Lepak studio jam lebih baik.

3. Otai-otai – Pemuzik-pemuzik lama sebenarnya sudah tidak sabar untuk muncul semula dengan impak. Mereka yang sudah lama tidak ketemu ‘substance’ yang menaikkan nama mereka dahulu kini semakin bijaksana dalam menilai suasana dan citarasa muzik terkini. Aku cuma mengharapkan lebih banyak kolaborasi bersama anak-anak muda (yang dikatakan indie ini) dalam bentuk lagu Melayu hebat dan pemikiran tinggi. Bagi pemuzik tua yang masih berfikiran macam dahulu dan menolak idea muzik baru, hadapilah kenyataan… tiada ruang bagi anda di tahun 2010 ini dan sehingga bila-bila.

4. Lagu-lagu lama – Tak kira sama ada komputer anda dipenuhi lagu-lagu pop, rock, Melayu, Inggeris atau apa saja, lagu-lagu lama akan dipasang secara berulang dan dipilih mengikut situasi dan cita rasa anda sendiri. Senang cerita, anda sendiri menjadi DJ dan menentukan lagu apa yang mahu didengar di dalam kereta, di tempat kerja atau ketika memadu asmara. Tak perlu rasa meluat mendengar DJ yang anda tak suka, mungkin hanya menjadikan radio sebagai rujukan sahaja untuk memuat-turun lagu-lagu dari internet apabila tiba di rumah kelak.

5. Muzik Radio – Yep.. radio masih relevan walaupun aku hanya mendengar stesen yang ada ‘citarasa’ (BFM 89.9 misalnya – emm.. untuk rujukan juga). Bagaimanapun, seperti MTV yang sudah membosankan dan kini lebih membuka ruangnya malah membuang ayat TV tersebut, stesen radio kini perlu lebih bervariasi dan berisi jika mahu mengikut zaman dan akhirnya kalah dengan lagu-lagu muat-turun.

6. Muzik live – Tiada yang lebih teruja selain dari melihat muzik dimainkan secara langsung. Jika ada band yang boleh bermain dengan baik, mampu melontarkan jiwa kepada pendengarnya, mereka ialah juara muzik tahun 2010, walaupun tidak menang Juara Lagu.

Tahun 2010 ialah tahun yang progresif, selepas kemunculan kegilaan indie serta pertelingkahan dominasi pop dan muzik alternatif ini dicetuskan Juara Lagu 2009 (aku tak sempat tengok pula). Bagaimanapun, akan ada bintang-bintang muzik baru, harapnya dengan ‘substance’ barulah. Sama ada, band/penyanyi tersebut dari Indonesia, dari Akademi Fantasia atau juara Mentor, jika tidak membuka baju atau mencium bukan mahram di TV perdana, aku jamin lagu dia akan ada di dalam thumb drive aku dan ramai orang Malaysia tahun 2010 ini.

SEIR

Nuansa pop dan bahasa muzik sinikal

In reviu album on February 17, 2010 at 1:53 pm

The Pips
Tug Of War
Knot Records
2009

Di antara melodi ringan dan lirik-lirik yang menurut kata mereka, punya tanggapan dan kesedaran sosial, di situlah semangat, tenaga dan mungkin juga jasad The Pips dipusatkan.

Saya ‘mendengar’ mereka terlebih dahulu sebelum sempat berkenalan dengan nama The Pips sebagai sebuah band solid beberapa tahun kebelakangan.  Malam itu, ditahun 2008 dan bertempat di The Annexe Central Market, saya menikmati persembahan mereka dibarisan paling belakang di antara ramai orang.

Dengan hanya berbekalkan set yang ringkas; satu-dua gitar tong dan seorang penyanyi wanita dengan vokal serak-basah, persembahan itu kiranya menerima tepukan besar juga. Lagu cover, Blowing In The Wind daripada Bob Dylan ketika dimainkan mengingatkan saya kepada persembahan live Joan Baez seperti yang terselit di dalam CD runut bunyi filem Forest Gump.

Kemudian, mereka membawakan lagu Change. Sekejap itu potret John Lennon seperti terpampang di dinding imajinasi. Juga tenang walaupun dari baris-baris ayat yang dilagukan, ada semacam satu desakan untuk perubahan. Mengenang latar waktu itu, dan kemudiannya disahkan oleh band ini sendiri, ia tentu pasti merujuk kepada desakan terhadap perubahan politik semasa Malaysia. Saya tidak merasa akan mendengar daripada mereka lagi selepas itu.

+++

16 Januari 2010. Saya belum kenal dengan nama The Pips. Tetapi, di ruang tamu Lot Republik Anak Muda (RAM) di Jalan Terasek, Bangsar itu, saya berjumpa kembali dengan wajah-wajah yang seperti biasa dilihat.

Malam itu, The Pips merupakan tamu sesi diskusi muzik dan persembahan akustik anjuran RAM. Ruang utama semakin lama semakin dipenuhi. The Pips membuka tirai pengenalan malam itu dengan memainkan lima buah lagu akustik yang dipetik daripada album ini. Suasana yang awalnya kaku, perlahan-lahan menjadi lebih enak. Yang hadir mula mengenali The Pips, menerusi lagu-lagunya yang santai. Yang belum pernah mendengar juga rasanya tidak memerlukan masa yang lama untuk mula menikmati tona bunyi dan melodi ringan yang dibawakan band ini.

Di dalam banyak-banyak perkara yang disentuh atau ditanyakan waktu itu, pernyataan mereka berkenaan pendekatan penulisan muzik antara yang menarik untuk diteliti. “Kami penulis muzik dan lirik berkaitan perkara-perkara yang berlaku disekeliling, berkenaan hal-hal sosial dan politik semasa,” kata-kata yang seperti dipersetujui oleh semua mereka, ketika merujuk kepada lagu-lagu yang ditulis. Mengingat kembali kata-kata pemain gitar band ini, Alak, dia menyifatkan; “dalam keadaan yang memerlukan dan mendesak, kami ingin berbuat sesuatu untuk disumbangkan kepada keadaan itu. Dan, menghasilkan muzik dengan lirik seperti yang dilakukan inilah yang termampu kami lakukan. Mungkin bagi sesetengah orang, usaha itu tidak seberapa dan kecil, bagi kami sekurang-kurangnya ia adalah satu bentuk pencapaian ekspresif.”

Tetapi, apa kelainan The Pips? Dalam memberi komentar mereka tentang isu-isu sosial yang dipilih – yang kedengarannya seperti sudah selalu benar diungkapkan oleh banyak band lain – ada kekuatan lain yang memikat pada band ini. The Pips tidak melaungkan gema-gema keras dengan muzik yang hingar-bingar yang penuh bertakung kata-kata amarah. Mereka mengulit hal-hal serius ini di dalam melodi yang mudah. Mereka mengikat muzik dan seni kata secara langsung di dalam ritma yang tenang dan berlenggok pop. Tiada jeritan. Tiada laungan revolusi. Tiada apa-apa seruan yang akan membuatkan kita lelah. The Pips tidak sama seperti kebanyakan band-band baru lain yang kini sedang ghairah bersarang dan menunggang  populariti menyesakkan di stesen-stesen radio seperti X.FM, misalnya, yang tetap layu dan terperangkap dengan substans muzik dan lirik yang tidak berkembang dan selari dengan semangat dan tenaga muda-mudi seperti yang diharapkan – walaupun sudah menemui saluran perdana yang meyakinkan. Hasil-hasil di situ masih boleh diragui.

Lima lagu yang dimainkan secara akustik malam itu ialah;

Dungeon, sebuah lagu pendek yang dibiarkan terdampar dengan nada dan pelat British yang pekat. Paten lagu yang juga mudah – verse/bridge/chorus – ia akan meninggalkan telinga pendengar sebelum sempat kita meramahinya.

Ashes In The Wind yang berbicara dan mengingati Altantuya, seorang wanita cantik yang tubuhnya dibom, yang kemudiannya menjadi ‘debu meruap dan diterbangkan angin’. “Melalui lagu ini, kami tidak menuding jari kepada siapa-siapa. Dengan penuh kesadaran tentang hal-hal seputar hak asasi dan kekejaman, kami sebut Altantuya ini agar kisahnya  sentiasa akan dikenang dan orang tahu yang masih ada perkara yang belum selesai dengan individu ini. Itu antara cara kami mengetengahkan isu berkenaan,” ujar The Pips.

Change pula mengesahkan ingatan saya kepada lagu dan nada-nada mereka. Ia sebuah lagu yang paling ringkas dari aspek penggunaan alat muzik, termasuk pada versi yang dirakamkan untuk rilisan ini. Hanya dua lapis riff gitar dan tamborin sahaja yang menemanu persembahan vokal pada lagu berkenaan. Selebihnya, keinginan untuk ‘perubahan’ itulah yang berbicara dengan semangat yang tak mahu kalah.

Hukum Rimba – lagu cover daripada band punk Indonesia, Marjinal. Versi The Pips ini juga tidak kalah energinya. Tetap menjadi lagu dengan tempo paling cepat di antara lagu-lagu lainnya. Ia juga akan menyelubungi ingatan kita kepada insiden-insiden ketidakadilan sosial orang-orang kecil tertindas dan perundangan serta paling utama, rasuah.

Pernyataan paling kuat rasanya dibikin oleh Hana, sang vokalis, ialah dengan lagu Perempuan Merdeka. Rasanya lagu ini sudah cukup untuk menggambarkan muzik The Pips secara keseluruhannya. Menyentuh tentang kesamarataan, penindasan serta layanan antara lelaki-perempuan, ia tidak pula membayangkan kewujudan sisi-sisi ‘anti’ bagi mana-mana kelompok di dalam membawakan hal ini. Suara-suara ini minta untuk didengari, tetapi tidak memaksa kita untuk menelannya terus. Agaknya, hanya menggetus cebisan-cebisan ingatan dan perasaan. Selebihnya terserah kepada yang mendengar.

Kesediaan The Pips untuk berinteraksi dengan rendah hati malam itu agaknya antara perkara membuatkan hadirin tergerak untuk cuba  mendengar dengan lebih teliti muzik The Pips – dan sekali gus menghargai  dan menghormati usaha mereka.

CD ini, mungkin boleh dianggap EP atau mini album, merupakan buah tangan pertama mereka dalam format rakaman. Dirakam dan dibiaya sendiri dengan bantuan rakan-rakan dan tidak membabitkan mana-mana label besar, The Pips kini sudah bersedia untuk menjaja muzik yang ditulis. Walaupun masih selesa dengan kelompok muzik pinggiran, dengan kekerapan berlegar si lingkungan-lingkungan pendengar yang kecil, The Pips pada masa yang sama tidak risau sekiranya nama itu menjadi semakin besar dan menarik perhatian. “Kalau lagi ramai yang mendengar muzik kami dan sukakannya, itu tidak menjadi masalah buat The Pips,” tambah mereka. Pada masa yang sama, The Pips masih tegar dengan aliran DIY dan menolak bentuk-bentuk establishment di dalam bermuzik.

Simplistik, tetapi masih terkawal aspek-aspek rakamannya, Tug Of War mula diedarkan pada penghujung 2009 dengan lapan buah lagu disertakan. The Pips, yang dirujuk oleh mereka sendiri sebagai sebuah ‘open band’ dianggotai sebahagiannya oleh Hana (vokal), Ekin (gitar), Alak (gitar/-Pusher, Carburetor Dung) dan koma dan koma. Belum nokhtah.

Untuk sebarang pertanyaan dan pesanan CD, mereka boleh dihubungi melalui laman Myspace (myspace.com/thepips666) atau emel ke thepipsters@gmail.com.
.

.

Hafiz Hamzah, 5 Februari 2010.
Pertama kali terbit di JalanTelawi.com.