rawkcarpark

Nuansa pop dan bahasa muzik sinikal

In reviu album on February 17, 2010 at 1:53 pm

The Pips
Tug Of War
Knot Records
2009

Di antara melodi ringan dan lirik-lirik yang menurut kata mereka, punya tanggapan dan kesedaran sosial, di situlah semangat, tenaga dan mungkin juga jasad The Pips dipusatkan.

Saya ‘mendengar’ mereka terlebih dahulu sebelum sempat berkenalan dengan nama The Pips sebagai sebuah band solid beberapa tahun kebelakangan.  Malam itu, ditahun 2008 dan bertempat di The Annexe Central Market, saya menikmati persembahan mereka dibarisan paling belakang di antara ramai orang.

Dengan hanya berbekalkan set yang ringkas; satu-dua gitar tong dan seorang penyanyi wanita dengan vokal serak-basah, persembahan itu kiranya menerima tepukan besar juga. Lagu cover, Blowing In The Wind daripada Bob Dylan ketika dimainkan mengingatkan saya kepada persembahan live Joan Baez seperti yang terselit di dalam CD runut bunyi filem Forest Gump.

Kemudian, mereka membawakan lagu Change. Sekejap itu potret John Lennon seperti terpampang di dinding imajinasi. Juga tenang walaupun dari baris-baris ayat yang dilagukan, ada semacam satu desakan untuk perubahan. Mengenang latar waktu itu, dan kemudiannya disahkan oleh band ini sendiri, ia tentu pasti merujuk kepada desakan terhadap perubahan politik semasa Malaysia. Saya tidak merasa akan mendengar daripada mereka lagi selepas itu.

+++

16 Januari 2010. Saya belum kenal dengan nama The Pips. Tetapi, di ruang tamu Lot Republik Anak Muda (RAM) di Jalan Terasek, Bangsar itu, saya berjumpa kembali dengan wajah-wajah yang seperti biasa dilihat.

Malam itu, The Pips merupakan tamu sesi diskusi muzik dan persembahan akustik anjuran RAM. Ruang utama semakin lama semakin dipenuhi. The Pips membuka tirai pengenalan malam itu dengan memainkan lima buah lagu akustik yang dipetik daripada album ini. Suasana yang awalnya kaku, perlahan-lahan menjadi lebih enak. Yang hadir mula mengenali The Pips, menerusi lagu-lagunya yang santai. Yang belum pernah mendengar juga rasanya tidak memerlukan masa yang lama untuk mula menikmati tona bunyi dan melodi ringan yang dibawakan band ini.

Di dalam banyak-banyak perkara yang disentuh atau ditanyakan waktu itu, pernyataan mereka berkenaan pendekatan penulisan muzik antara yang menarik untuk diteliti. “Kami penulis muzik dan lirik berkaitan perkara-perkara yang berlaku disekeliling, berkenaan hal-hal sosial dan politik semasa,” kata-kata yang seperti dipersetujui oleh semua mereka, ketika merujuk kepada lagu-lagu yang ditulis. Mengingat kembali kata-kata pemain gitar band ini, Alak, dia menyifatkan; “dalam keadaan yang memerlukan dan mendesak, kami ingin berbuat sesuatu untuk disumbangkan kepada keadaan itu. Dan, menghasilkan muzik dengan lirik seperti yang dilakukan inilah yang termampu kami lakukan. Mungkin bagi sesetengah orang, usaha itu tidak seberapa dan kecil, bagi kami sekurang-kurangnya ia adalah satu bentuk pencapaian ekspresif.”

Tetapi, apa kelainan The Pips? Dalam memberi komentar mereka tentang isu-isu sosial yang dipilih – yang kedengarannya seperti sudah selalu benar diungkapkan oleh banyak band lain – ada kekuatan lain yang memikat pada band ini. The Pips tidak melaungkan gema-gema keras dengan muzik yang hingar-bingar yang penuh bertakung kata-kata amarah. Mereka mengulit hal-hal serius ini di dalam melodi yang mudah. Mereka mengikat muzik dan seni kata secara langsung di dalam ritma yang tenang dan berlenggok pop. Tiada jeritan. Tiada laungan revolusi. Tiada apa-apa seruan yang akan membuatkan kita lelah. The Pips tidak sama seperti kebanyakan band-band baru lain yang kini sedang ghairah bersarang dan menunggang  populariti menyesakkan di stesen-stesen radio seperti X.FM, misalnya, yang tetap layu dan terperangkap dengan substans muzik dan lirik yang tidak berkembang dan selari dengan semangat dan tenaga muda-mudi seperti yang diharapkan – walaupun sudah menemui saluran perdana yang meyakinkan. Hasil-hasil di situ masih boleh diragui.

Lima lagu yang dimainkan secara akustik malam itu ialah;

Dungeon, sebuah lagu pendek yang dibiarkan terdampar dengan nada dan pelat British yang pekat. Paten lagu yang juga mudah – verse/bridge/chorus – ia akan meninggalkan telinga pendengar sebelum sempat kita meramahinya.

Ashes In The Wind yang berbicara dan mengingati Altantuya, seorang wanita cantik yang tubuhnya dibom, yang kemudiannya menjadi ‘debu meruap dan diterbangkan angin’. “Melalui lagu ini, kami tidak menuding jari kepada siapa-siapa. Dengan penuh kesadaran tentang hal-hal seputar hak asasi dan kekejaman, kami sebut Altantuya ini agar kisahnya  sentiasa akan dikenang dan orang tahu yang masih ada perkara yang belum selesai dengan individu ini. Itu antara cara kami mengetengahkan isu berkenaan,” ujar The Pips.

Change pula mengesahkan ingatan saya kepada lagu dan nada-nada mereka. Ia sebuah lagu yang paling ringkas dari aspek penggunaan alat muzik, termasuk pada versi yang dirakamkan untuk rilisan ini. Hanya dua lapis riff gitar dan tamborin sahaja yang menemanu persembahan vokal pada lagu berkenaan. Selebihnya, keinginan untuk ‘perubahan’ itulah yang berbicara dengan semangat yang tak mahu kalah.

Hukum Rimba – lagu cover daripada band punk Indonesia, Marjinal. Versi The Pips ini juga tidak kalah energinya. Tetap menjadi lagu dengan tempo paling cepat di antara lagu-lagu lainnya. Ia juga akan menyelubungi ingatan kita kepada insiden-insiden ketidakadilan sosial orang-orang kecil tertindas dan perundangan serta paling utama, rasuah.

Pernyataan paling kuat rasanya dibikin oleh Hana, sang vokalis, ialah dengan lagu Perempuan Merdeka. Rasanya lagu ini sudah cukup untuk menggambarkan muzik The Pips secara keseluruhannya. Menyentuh tentang kesamarataan, penindasan serta layanan antara lelaki-perempuan, ia tidak pula membayangkan kewujudan sisi-sisi ‘anti’ bagi mana-mana kelompok di dalam membawakan hal ini. Suara-suara ini minta untuk didengari, tetapi tidak memaksa kita untuk menelannya terus. Agaknya, hanya menggetus cebisan-cebisan ingatan dan perasaan. Selebihnya terserah kepada yang mendengar.

Kesediaan The Pips untuk berinteraksi dengan rendah hati malam itu agaknya antara perkara membuatkan hadirin tergerak untuk cuba  mendengar dengan lebih teliti muzik The Pips – dan sekali gus menghargai  dan menghormati usaha mereka.

CD ini, mungkin boleh dianggap EP atau mini album, merupakan buah tangan pertama mereka dalam format rakaman. Dirakam dan dibiaya sendiri dengan bantuan rakan-rakan dan tidak membabitkan mana-mana label besar, The Pips kini sudah bersedia untuk menjaja muzik yang ditulis. Walaupun masih selesa dengan kelompok muzik pinggiran, dengan kekerapan berlegar si lingkungan-lingkungan pendengar yang kecil, The Pips pada masa yang sama tidak risau sekiranya nama itu menjadi semakin besar dan menarik perhatian. “Kalau lagi ramai yang mendengar muzik kami dan sukakannya, itu tidak menjadi masalah buat The Pips,” tambah mereka. Pada masa yang sama, The Pips masih tegar dengan aliran DIY dan menolak bentuk-bentuk establishment di dalam bermuzik.

Simplistik, tetapi masih terkawal aspek-aspek rakamannya, Tug Of War mula diedarkan pada penghujung 2009 dengan lapan buah lagu disertakan. The Pips, yang dirujuk oleh mereka sendiri sebagai sebuah ‘open band’ dianggotai sebahagiannya oleh Hana (vokal), Ekin (gitar), Alak (gitar/-Pusher, Carburetor Dung) dan koma dan koma. Belum nokhtah.

Untuk sebarang pertanyaan dan pesanan CD, mereka boleh dihubungi melalui laman Myspace (myspace.com/thepips666) atau emel ke thepipsters@gmail.com.
.

.

Hafiz Hamzah, 5 Februari 2010.
Pertama kali terbit di JalanTelawi.com.

  1. sangat berminat nak melayan dorang ni.hehe.rebiu yang baekk!!

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: