rawkcarpark

Archive for November, 2008|Monthly archive page

rs saiz kecil

In berita pantas on November 20, 2008 at 5:22 am

rs

Kepada yang tercengang-cengang seperti saya ketika melihat majalah Rolling Stone ini di kedai yang sudah bertukar saiz, ia memang sebenarnya begitu. Awalnya saya keliru kerana sebelum ini, saiz RS edisi Australia sememangnya lebih kecil berbanding edisi US.

Tetapi kini, RS sudah tidak lagi dalam format lamanya – kertas besar dan di ‘stapple’ saja. Mereka kini sudah mensaizkan semula majalah berkenaan. Kini ia sama saiz seperti majalah muzik lain; Guitar World, Revolver dsb. 

Ini, menurut editornya, bersempena dengan ‘perubahan’ yang dicanang oleh Obama. Jadi, mereka menyahut seruan itu. Walhal, pada firasat sesat saya, RS juga perlu menjadi ‘financially competitive’ ketika ekonomi US merudum. Harapnya jangan bungkus terus sudahlah!

Gambar di atas adalah isu pertama (RS1064) mereka dengan saiz baru itu – pun dengan cover Obama.

-HH-

Advertisements

album:black ice

In album, rebiu album, ulas on November 20, 2008 at 5:03 am

black-ice1

Black Ice
AC/DC
Columbia Records
2008

Ketika AC/DC pertama kali menjadi penghias muka depan majalah muzik dan budaya Rolling Stone (RS1065), itu mungkin kemuncak kepada sesuatu. Ini kerana, sepanjang 34 tahun AC/DC menjaja muzik mereka, RS tidak pernah mahu menjadikan mereka sebagai ‘cover’ langsung. Lapan tahun selepas kali terakhir menghasilkan album penuh, band ini masih mahu hadir dengan muzik yang mereka yakini. Di dalam album terbaru ini – Black Ice – mereka tidak mahu lari jauh dari trademark Rock ‘N’ Roll mereka yang sudah dikenali, dan ianya bukan satu usaha yang biasa-biasa.

15 buah lagu yang dihimpun di dalam Black Ice meletakkan mereka pada peta rock ‘n’ roll ‘cara lama’ dan sekaligus cuba mengesahkan yang keberadaan mereka – bersama muzik rock era lama yang di bawa – masih ada tempat tersendiri. Walaupun pada dasarnya tidak ada apa-apa pembaharuan yang ketara pada tulisan muzik mereka, satu perkara ini harus juga dipersetujui. AC/DC, walaupun sudah berusia – semua mereka berusia 50an waktu ini – band ini masih mampu mengunjurkan tenaga yang penuh untuk berkarya dengan cara paling mengkagumkan. Kita akan merasa dekat dengan semangatnya, energinya serta bagaimana album ini mampu melahirkan satu perasaan girang dalam hati pendengar (jika kamu pernah mendengar muzik mereka dan juga sudah faham rangka lagu-lagu AC/DC).

Angus Young kembali dengan Gibson SG dan sut sekolahnya, Malcolm juga datang lagi dengan gitar Gretsch pick-up-lompong dengan gaya menghadap timbunan amp, Brian Johnson dengan topi golfnya serta dua lagi ahli veteran, Cliff Williams (bass) dan Phil Rudd (drum). Semua mereka membawa bersama kegemilangan zaman mereka untuk dihampar pada tempoh waktu di mana perkembangan muzik sepatutnya tidak menyebelahi mereka. Tetapi, dengan segala kekuatan dan paling penting – keyakinan tunggal, mereka melabuhkan sayap sekali lagi.

Seperkara lagi yang menarik tentang AC/DC ini. Angus dan Malcolm selaku tonggak tidak membenarkan muzik mereka diedarkan secara online dalam format MP3. Namun, pada masa yang sama mereka menggunakan saluran lain daripada yang konvensyenal. Mereka melakukan usaha sama  dengan rangkaian hipermarket Wal Mart yang bersetuju memberikan segmen khas untuk band ini di seluruh rangkaian premis mereka. Hasilnya, setakat bulan pertama album tersebut menjengah pasaran, Wal Mart komited untuk menempah 2.5 juta salinan album ini – yang mana angka itu sudah cukup baik dalam keadaan industri muzik mereka sekarang.

Sepanjang album ini, lagu-lagunya akan mengembalikan rasa yang sama ketika kita mendengan masterpiece mereka yang lahir pada tahun 1982 dulu, Back In Black. Black Ice juga diangkat sebagai sebuah album yang mampu mengatasi sifat kesempurnaan Back In Black. Rock N Roll Train, single pertama dari album ini turut mengatasi populariti single terbaru Metallica dari album Death MagenticThe Day That Never Comes – yang kebetulan dilancarkan pada waktu yang hampir sama.

Black Ice didatangkan juga dengan siri edisi terhad. Logo merah adalah versi standard. Tiga lagi warna logo versi istimewa berkenaan yang turut mengandungi booklet tebal (sepatutnya) adalah; kuning, biru dan putih. (Untuk pasaran Malaysia, tidak pasti sama-ada variasi ini betul-betul edisi istimewa atau tidak.)

Selamat menjilat es krim terbaru dari AC/DC ini! Lazat…

-Hafiz Hamzah-

Filem : KAMI

In filem on November 19, 2008 at 9:01 am

kami-2

Baca lanjut di sana.

ini cerita sensasi, mari baca, mari nonton, mari mundur!

In dilema media, dilema muzik, ide on November 17, 2008 at 7:51 am

Pengenalan

Walaupun aku sudah lama tidak terbabit dalam dunia muzik dan hiburan (terma paling aku tak suka nak guna), kadangkala sempat juga aku menonton Melodi dan membaca akhbar atau menerawang laman-laman maya yang lebih bebas bercerita. Tetapi kadangkala, laman blog ini hanya memutarkan kembali berita yang sama, dipaut dengan blog lain, yang akhirnya berakhir di Youtube. 

SENSASI kini menjadi wadah utama apa yang dikatakan hiburan sekarang. Walaupun budaya ini sudah sekian lama menjadi darah daging pemuzik, pelakon dan penyanyi, lega rasanya barah ini tidak membabitkan pula golongan pelukis, penulis ataupun penyajak tanahair, mahupun aktivis sosial/politik. Ia sudah lama beranak-pinak sejak dari zaman Kak Bam, Mama Juwie, Huzz dan dimakmurkan lagi dengan wartawan terkini seperti Nas Ahmad, Zubir, Michelle dan ramai lagi (maaf tak dapat menyebut kesemuanya, jangan kecil hati, ya?)

Jika kita melihat dari luar, kita mungkin terdorong untuk menyalahkan orang, samada wartawan, editor ataupun aktivis seni itu sendiri.  Sebagaimana yang terbiasa kita lakukan, kita selalu membuat pengadilan dengan melihat sesuatu dari atas kertas, atas skrin dan suasana persekitaran kita. Bagaimana kalau kita lihat semua itu dari dalam, dari asal perbuatan itu sendiri berlaku? 

Sekadar gambar hiasan

SENSASI

Asal Sensasi

Pada firasat aku, SENSASI semuanya berasal dari gerak hati kita untuk mengetahui. Sepertimana yang dipetik dari Wikipedia, In psychology, sensation is the first stage in the biochemical and neurologic events that begins with the impinging of a stimulus upon the receptor cells of a sensory organ, which then leads to perception, the mental state that is reflected in statements like “I see a uniformly blue wall.” In other words, sensations are the first stages in the functioning of senses. Yeah!

Hampir kesemua kita dipaparkan dengan budaya pop setiap hari. Budaya popular ini ialah racun yang menyirami minda mengenai kecantikan, kemahsyuran, kemanisan serta lebih banyak elemen kulit yang berkilat-kemilauan berbanding isinya yang kadangkala busuk dan buruk.

Media massa ialah medium utama. Diulang semula, media massa ialah medium utama!

Jadi, apa yang membentuk isi editorial dan mentafsirkan terma hiburan itu ialah media-media utama ini. Dan mereka telah menjalankan kerja yang tidak seimbang apabila membincangkan tentang budaya popular ini selama berdekad-dekad lamanya, sejak zaman P. Ramlee aku rasa.

Jika kita lihat akhbar utama kini, seni bukan wadah utama, melainkan satu segmen yang disensasikan dengan wajah-wajah cantik dan ayu wanita muda dengan gaya tertentu. Dengkelnya pandangan kita, pasti tertarik untuk membacanya dahulu berbanding helaian akhbar yang lain. Itu tanya nafsu sendiri lah!

Jarang sekali cerita mengenai seni muzik, filem atau lukisan terpampang di muka surat depan kecualilah ada cerita aktivis seni yang berkahwin di KLCC ataupun di Indonesia. Muka depan hanya layak untuk cerita sensasi sebegitu sahaja.

Konsep ‘pecah dan perintah’ bukan sahaja layak disalahkan untuk penjajah British sahaja tetapi ia sebenarnya sudah lama dipraktikkan oleh media-media utama negara, sejak kita lahir lagi.

Oleh kerana ‘hiburan’ dan ‘seni’ telah dipisahkan dan disegmenkan, maka lahirlah wartawan yang mempunyai minat untuk membuat pengkhususan dalam bidang ini. Oleh kerana sambutan terhadap nilai-nilai sensasi ini tinggi, kerjaya dalam bidang ini amat menyeronokkan dan mengujakan, sudah tentu kepada pemberita serta kepada pembaca.

Kadangkala nilai-nilai sentimen akan mencemarkan etika dan tahap professional mereka, dan masyarakat terus menerus ghairah dan dahaga dengan sensasi.

Bagi pemberita, ruang lingkup sensasi itu tiada batasnya kerana tiada undang-undang yang tertulis di mana hadnya. Ia hanya terletak atas dasar kemanusian, kejiranan serta kuasa editor mereka, yang juga sebenarnya agak bebas.

Jika ada kejadian yang membuatkan mereka didorong kemarahan kerana (contohnya) tidak diberi layanan sepatutnya, mereka akan menggunakan media sebagai satu aksi ‘retaliation’ atau serang balik, khas kerana meraka mempunyai kelebihan yang cukup hebat itu. Oleh kerana emosi sebeginilah yang menghasilkan lebih banyak sensasi, lantas mengetepikan dan meminggirkan lagi konsep seni sebenar yang lahiriahnya luhur, bersih dan suci.

Cadangan

Walaupun ini bukan satu kertas kerja, cadangan ekstrim aku ialah membubarkan kembali format akhbar/TV kita sekarang dan merevolusikan bacaan bahan seni supaya tidak diperkecilkan berbanding hiburan. Hal-hal seni yang serius harus dikupas dengan dalam serta diberi ruang yang setimpal, sama atau lebih peratusannya dari aspek sensasi dan hiburan. Perlu lebih ramai Ku Seman Ku Hussein berbanding Nas Ahmad dan Huzz dalam media massa sekarang dan akan datang.

Jika kita mahu terus mundur dalam bidang seni, teruskanlah membaca dan menonton cerita-cerita sebegini dan terus dahagakannya sampai bila-bila. Justeru jika mahu maju pula, terus baca dan tonton semua bahan sensasi ini, tetapi bacalah benda-benda yang kritikal dan ilmiah yang lain dengan peratusan lebih banyak. Cara paling bijak, cepat minta kerja wartawan sekarang.

Baca juga tulisan blog Saniboey berkaitan di sini

SEIR

immagine in cornice

In filem, ulas on November 7, 2008 at 7:05 am

 cornice_dvd

Immagine In Cornice: Picture In A Frame
Pearl Jam
2007
DVD

Pearl Jam adalah antara band terbaik ketika persembahan live. Mereka sudah berada di luar waktu kegemilangan muzik 90-an tetapi itu bukan penghalang untuk mereka terus hadir dengan kerja-kerja muzik yang bagus. Di dalam Immagine In Cornice mereka sekali lagi mengklaim kredebiliti tersendiri.

Ini bukan DVD konsert biasa yang mendatar. Danny Clinch – sang pembikin filem yang dekat dengan band-band seperti Dave Matthews dan Bruce Springsteen mengarah satu bentuk naratif konsert yang amat menarik untuk DVD ini. Ia dokumentari-live konsert Pearl Jam di Itali pada 2006 – mereka di sana selama seminggu untuk tour.

Persembahan live Pearl Jam ditampilkan dengan penuh energi di dalam DVD ini. Tidak seperti footage live mereka yang lan sebelum ini – The Touring Band dan Live At The Garden – yang amat stereotaip. Bukan persembahan band ini, tetapi cara penyampaian yang ada di dalam cakera visualnya.

Immagine In Cornice adalah satu set perjalanan yang peribadi, membawa bersama peminat dan penonton memasuki band mereka. Temubual pendek santai di antara lagu yang turut terselit memberi ruang untuk setiap individu Pearl Jam didekati – berbincang hal-hal muzik dan juga lain-lain. Daripada ini akan kelihatan ‘ketenangan’ dikalangan mereka. Eddie Vedder juga seperti mahu mengulangi pengalaman era awal mereka; lincah-panjat-tergolek ketika dipentas.

Torino, Bologna, Pistoia, Milan, dan Verona pernah menyaksikan sejarah dilakar di depan mata mereka dan dengan DVD ini, semua keindahan itu terpahat di dalam cakera untuk dikongsi. Ini antara DVD terbaik yang pernah disaksikan – dalam persembahan live mereka yang dirakam.

Penonton diberi peluang untuk berintimasi dengan band ini. Dan sentuhan ala dokumentari dengan kesan visual yang ringkas-bijak-klasik membuatkan kita tak akan mahu sudah menikmati hamparan kedua-duanya; muzik Pearl Jam dan videonya.

Buat seketika (mungkin), ini merupakan rakaman persembahan live terbaik Pearl Jam. Jangan terlepas!

-Hafiz Hamzah- (11nov2008)

metal gegaq

In berita pantas on November 6, 2008 at 8:29 am

metalgig

Dipersilakan…