rawkcarpark

Archive for December, 2008|Monthly archive page

mogwai – kl

In berita pantas on December 31, 2008 at 4:00 am

mogwai1

Jika persembahan ini tenang dan nyaman, rasanya pengalaman untuk menikmati muzik instrumental Mogwai pasti enak. Di tambah dengan venue dengan pendingin hawa, siapa yang tak nak datang? Yang belum pernah mendalami muzik band ini tetapi dalam koleksi baju band kegemaran kamu terselit walau sehelai pun baju Mogwai, pergilah tengok mereka.

Advertisements

mengapa kita suka muzik

In dilema media, dilema muzik on December 24, 2008 at 5:33 am

Tajuk di atas ialah terjemahan terus daripada ‘kulit’ terbaru majalah The Economist (20 Disember 2008 – 5 Januari 2009).  Saya cukup-cukup teruja.

economist20dec

Beberapa ketika dulu, saya merasa tepu dengan persekitaran muzik yang saya alami. Saya bersama majalah ROTTW kurang lebih setahun (2004-2005) dan menulis tentang muzik. Atas tiket itu, saya bertandang ke banyak acara muzik yang pernah anda fikirkan- baik dari arus perdana ataupun golongan yang bersifat anti-establisment –  dan berjumpa dengan banyak jenis manusia yang katanya dari kelompok muzik yang cukup-cukup faham dengan semua ini. Untuk satu tempoh yang singkat saja, saya jadi menyampah.

Saya mula bertanya soalan-soalan yang berbeza dengan apa yang selalu saya ajukan kepada orang yang ditemubual. Baik mereka yang menggelar diri penyanyi, artis, komposer dan penulis lirik, saya jarang berjumpa dengan jawapan yang memuaskan hati dan matang. Kebanyakannya jawapan asal boleh. Ini telah menyebabkan saya di bawah sedar telah membuat suatu asumsi yang agak negatif – mereka ini (walaupun bukan semua) tidak faham apa yang sedang mereka buat. Dan itu lagilah tidak membantu saya untuk menyelami subjek muzik itu sendiri – kerana saya bukan siapa-siapa dalam arena berkenaan.

Saya beri contoh di sini. Misalkan soalan ini yang diajukan; “Muzik itu apa?” Jawapan standard yang akan kedengaran hingga hari ini ialah; “Muzik ialah platform untuk meluahkan perasaan,” atau “muzik bagi saya adalah hiburan” atau “muzik itu subjektif” dan bla…bla…bla.

Ya, kita semua tahu hal itu. Tetapi lama kelamaan saya  lekas bosan dengan jawapan yang hampir sama ini. Tambah melemaskan ialah jawapan-jawapan ini datangnya dari penggiat-penggiat muzik itu sendiri. Masing-masing dengan ego tersendiri.

Saya mula berjalan sendiri. Bertanya soalan dan mencari jawapan sendiri – saya malas bertanya kepada orang kerana situasi seperti yang diceritakan tadi akan terus berulang – dan saya belum berjumpa orang yang betul. Kita sudah kebas dengan penjelasan yang tak masak dan cetek. Kita mahu dengar perkara yang akan membuatkan kita terlopong dan menghormati mereka.

Maka dengan itu, saya membaca. Saya membaca – antaranya – mengapa The Beatles itu hebat. Mengapa Kurt Cobain, walaupun banyak yang mencemuh tetap menjadi ikon. Apa yang bersarang di dalam otaknya sehingga dia mahu mengambil nyawa sendiri? Juga, mengapa muzik Barat begitu dekat dengan masyarakat mereka dan bila pemuzik tempatan mula menulis lagu, mereka juga mahu menjadi seperti orang Barat – memukul canang perkara-perkara yang tidak dekat pun dengan diri kita. Atas sebab itu saya rasakan tema cinta mudah untuk didagangkan di mana-mana.

Saya dahagakan tulisan-tulisan yang sentiasa memberi dimensi baru kepada pemahaman saya. Bukan untuk berlagak, tetapi untuk kepuasan sendiri. ROTTW kini juga semakin jauh daripada apa yang saya bayangkan ia sepatutnya jadi. Dengan nama dan kapasitinya yang ada, saya rasa sedih membaca majalah itu sekarang. Ia sepatutnya membesar dan matang bersama usia dan dengan repertoire yang dibina, ia sepatutnya menjana proses argumentasi yang lebih tinggi dan memaparkan perbincangan muzik yang lebih serius. Kini, pada kebanyakan muka suratnya saya rasakan ia sudah bertukar kepada majalah ‘berita’ muzik semata-mata – tidak lebih dari itu. Entahlah.

Berbalik kepada The Economist terbaru ini. Ia bagi saya menganjakkan lagi dimensi pemahaman saya. Ada tulisan yang membincangkan muzik dari aspek sosiologi, sejarah kontemporari, psikologi dan sains – sesuatu yang kita susah nak jumpa di dalam penerbitan tempatan. Carilah, bacalah jika kamu rasa kosong dengan ruang muzik dalam hati. Tetapi, jika kamu dari jenis yang hype, selalu merasakan diri sudah cerdik, teruskan berseronok dan meulis lagu-lagu yang memfotostat Barat – dengan lirik-liriknya sekali dan segala macam sudut yang ada.

Kita baralih ke hal lain tantang majalah ini. Di dalam isu ini, saya rasa masalah dan ketakutan kita semakin melampau-lampau. Dua imej yang terdapat di dalamnya (pada muka surat 51 dan 129) di sensor. Saya syak ia dilakukan oleh pengedar utama di sini. Cara sensornya juga macam tahi – menggunakan pen marker hitam dan diconteng untuk menutupi bahagian yang kononya sensitive. Inilah masalah kita, langsung tidak yakin untuk berkembang dan matang – masih ada yang mahu mengawal semuanya. Apa yang kamu patut baca, patut makan dan patut tahu dikawal oleh pihak-pihak tertentu. Kita di negara mana sekarang ? Komunis?

Apa pun saya sertakan juga dua imejan yang disensor itu di sini untuk tatapan kamu. Saya masih berjalan untuk memahami perkara yang saya suka – muzik. Jadi, mari berjalan bersama-sama ke tempat yang lebih terang tanpa perlu kita marah-marah.

economist-pg51Foto dari muka 51. Yang disensor ialah tulisan Arab pada papan biru di antara orang ini. Kamu rasa kenapa perlu diselindungkan ya? – Dari kolum Asia.

economist-pg129Imej dari muka 129. Apa yang sensitif sangat dengan imej ini? Boleh jelaskan? – Dari artikel Darwinism.

* Juga, pergi jumpa pelacur.

Hafiz Hamzah / 24 disember 2008

rtw8 – gemuruh antara langit dan ekonomi

In Uncategorized on December 23, 2008 at 10:30 am

Saya berjalan masuk ke perkarangan ‘Taman Rahsia’ itu – bersama ratusan yang lain – sekitar jam 7.12 malam – 20 Disember 2008. Hujan mengiringi kami dan senyap pentas membawa bersama rasa dan cerita yang tak terkarang. Banyak kisah yang menyelubungi perjalanan RTW8 ini. Sebelumnya, saya bertandang ke festival filem Russia di Pusat Persidangan Kuala Lumpur, menonton filem yang penuh inspiratif untuk peminat muzik – Tchaikovsky – kisah seorang komposer klasikal Russia yang penuh drama berat. Sabtu yang penuh kenikmatan.

Beberapa waktu sebelum itu, saya duduk bersembang dengan teman-teman baru dan lama tentang banyak hal seputar perkembangan muzik tempatan. Banyak keluh kesah kedengaran. Ketika itu juga terdengar cerita yang RTW kali ini sukar mendapat penaja. Tiada pulangan setimpal, ‘bad repo’ dan sebagainya antara penyebab yang dirasakan.

Kemudian, jika kamu pernah bertandang ke JunkOnline – di bawah entri RTW8 – komentar ‘keras’ yang dilontar para hero-hero siber juga bagi saya semakin menonjolkan kebebalan diri sendiri. Dari menghentam penganjur, medium itu kemudiannya bertukar menjadi tapak silat untuk mereka-mereka ini berperang untuk menunjukkan siapa lagi hebat. Itu bagi saya memperlihatkan di mana dan bagaimana orang-orang yang katanya berselingkuh di dalam ‘scene’ muzik tempatan ini berfikir. Dan itu juga – bagi saya – amat memalukan. Saya sedar satu perkara, sekarang ini semua orang sudah pandai – sehingga menjadikan kepandaian itu satu kebodohan baru.

Saya tinggalkan semua itu di luar pintu masuk konsert dan melangkah dengan hati yang lapang. Cuaca hujan renyai sejuk banyak memberikan keselesaan. Ada hal yang seronok dan ada hal yang tak membuat kita rasa seronok. Sepanjang persembahan sebelah malam itu, para hadirin yang sedikit kritikal akan dapat mengesan beberapa perkara. Saya banyak tertumpu kepada sistem audio yang ada. Ia cukup untuk menampung skala konsert itu tetapi yang menjadi masalah ialah mungkin terselit antara band yang terlibat dan juga kapasiti peralatan audio berkenaan.

Pada sesetangah band, saya rasa selesa dengan keadaan bunyinya, tetapi pada sesetangah band lain, bunyi yang keluar terasa melampau-lampau dan tak terkawal. Dan saya mengekalkan posisi ditengah ‘crowd’ di bahagian tengah arena itu atas satu alasan – untuk merasakan kesan audio ‘live’ yang optimum, walaupun ada masanya saya termasuk di dalam selut lumpur dan cuba sehabis mungkin mempertahankan posisi itu dengan melawan ombak kelompok mosh-pit yang sedang menikmati keseronokan tersendiri.

***

Di sini saya coretkan pengalaman ringkas sendiri dengan setiap band yang terlibat, ditengah-tengah orang ramai malam itu (*tanpa mengikut urutan saya rasa).

The Otherside Orchestra

Dari jauh, ini band pertama yang saya dengari dari atas pentas. Saya sakit dengan bunyia keseluruhan mereka tetapi saya juga masih boleh menikmati muzik band ini. Ia membawa saya untuk terkenangkan The Cure – dengan komposisi muzik moden mereka, beserta synthesizer mungkin – dan dengan vokalis wanita, pengunjung rasanya turut merasa dekat dengan lagu-lagu band ini. (Pada satu titik di dalam tahun ini, saya berselubung dengan kerja-kerja The Cure untuk memahami sedikit sebanyak kehebatan mereka, dan ini saya kira titik penyambung antara saya dengan The Otherside Orchestra).

Bittersweet

Band pertama yang memubuatkan saya rasa selesa dengan pantulan bunyi-bunyian mereka. Semakin ramai yang menyesak ke depan. Kelihatannya seperti band ini berjaya memukau pendengar-pendengar muda yang sepanjang persembahan berkenaan menyanyi dan melompat bersama. Juga, yang menarik perhatian saya ketika selingan antara lagu adalah ayat-ayat ini yang disampaikan dengan lenggok gurindam oleh vokalisnya : “Tersebutlah kisah, di sebuah negeri/ di mana menteri-menteri menipu rakyatnya..” Kucing Hitam yang membuka selera dan mahu tidak mahu, orang patut akur dengan energi muzik dan persembahan band ini.

Estranged

Ya, mereka sudah dikenali dan lagu-lagunya juga baik – kepada setengah-setengah orang. Maka ramailah insan-insan bertudung tiba-tiba memunculkan diri dan menyisihkan yang tua-tua ke tepi sedikit. Lagu-lagu yang dibawa kebanyakannya yang sudah ramah dengan halwa pendengar radio, dan sebutir dua dari album baru mereka – Remain Unkown. Juga, ketenangan Malena sang pemain bass ketika dia membetulkan tune bassnya yang sudah lari cukup menyenangkan walaupun tak ramai yang perasan. Ini berlaku ketika mereka sedang memainkan lagu kedua – Itu Kamu.

The Times

Antara band yang menerima sambutan hangat mengiringi ‘pencapaian’ Bittersweet malam itu. Muzik ringkas dengan lirik mudah saya kira menjadi ubat untuk band ini menangkap selera orang. ‘Gadisku Dalam Koma’ dan ‘Dari Singapura Ke Kuala Lumpur’ menjadi mentera malam itu, gemanya dari audien sampai ke ruang vakum di udara.

Revenge

“Kepada sesiapa yang kata Rock Kangkang sudah mati, kamu semua boleh keluar dari sini.” Itu cakap-cakap Ayid, vokalis Revenge ditengah-tengah set mereka. Sebelumnya, dia melempar ‘mic stand’ ke arah penonton walaupun ketika itu dia belum pun mula menyanyi. Bunyinya negatif, tetapi itulah hakikat malam itu. Saya tiada masalah dengan muzik mereka, cuma tidak gemar melihat telatah sebegitu. Balingan kasut Aliph dihujung persembahan juga tidak dapat mengubat rasa hati – itu pun kepada kelompok penyokong mereka di dapen pentas. Yeah… REVENGE.

Koffin Kanser

Band ini mempamerkan kawalan audio yang baik. Namun, saya tidak rasakan muzik mereka mampu untuk memeluk audiens malam itu. Set biasa yang pernah kita lihat sebelum ini – beberapa batang didgeridoo, set percusionis dan riff ala Aru yang biasa.

One Buck Short

Band ini menjadikan audiens meriah. Persembahan energetik dan saya kira, bilangan yang menunggu persembahan mereka cukup ramai. Ruang jadi penuh dan orang berseronok.

Butterfingers

Melihat daripada sambutan dan keghairahan sebilangan besar penonton malam itu, Butterfingers seperti ditunggu-tunggu dan dialu-alukan oleh audiens RTW8. Set mereka tanpa kehadiran Loque, dan bagaimana pun ia tetap menggamit tumpuan ramai. Lagu-lagu dari legasi muzik mereka sejak awal seperti memberi peluang bernostalgia kepada peminat-peminatnya. Ruang jadi semakin padat dan orang menjadi semakin girang.

***

RTW8 walaupun tanpa penaja besar saya kira sudah melakukan sesuatu yang baik juga. Ya, cacat-cela tidak dapat dielakkan  tetapi perjalanan keseluruhan acara dan sambutan orang ramai sudah dapat menyenangkan hati penganjur.

Dari perkiraan ralat saya, bilangan penonton mencecah angka 3,500. Untung atau rugi yang dicatatkan bukan masalah utama. Keupayaan dan usaha besar untuk mengekalkan momentum dan terus berinovasi itu yang penting. RTW8 rasanya mampu membuatkan penganjur – Fat Boys Record – lega. Entahlah.

Seorang teman berbisik ketika kami beransur dari situ, “nampak gaya makin banyak band yang bercakap dan membuat lagu tentang politik,” katanya. “Kesedaran penting untuk membuatkan kita lebih realistik dan merendah diri,” balas anak hati saya ketika kami mengharungi lautan manusia untuk pulang sambil mengurut pinggang.

Hafiz Hamzah / 23 disember 2008

foto-foto rock the world 8

In band, berita pantas, Uncategorized on December 22, 2008 at 9:58 am

Gambar-gambar yang sempat dirakam semasa Rock The World 8 di Taman Rehsia, Stadium Merdeka semalam. Ulasannya akan menyusul nanti, kalau ada masa nak tulis! SEIR

img_9632

Lawat FLICKR

album terbaik 2008 pilihan rolling stone

In band, berita pantas, dilema media, rebiu album, ulas on December 13, 2008 at 3:17 am

Senarai album terbaik 2008 telah keluar dari majalah muzik paling estetik Rolling Stone. Sila rujuk di sini jika mahu menilaikannya dan mahu muhasabah diri tentang dunia muzik paling terkini. BB King dengan album kegilaan aku One Kind Favor (2008) jatuh nombor 17 manakala album yang aku tak pernah rasa nak dengar, Gun’s And Roses (Chinese Democracy) jatuh nombor 12. Not bad at all, Axl!

bbking

Seperti biasa, seperti yang aku jangka RS akan tetap mengagung Bob Dylan, menyembah Beck dan macam tak ikhlas, memberi kredit kepada Coldplay. Bagaimanapun, senarai ini patut dirujuk juga bersama senarai ‘terbaik’ lain seperti majalah SPIN dan yang pastinya TIMES.

RAWKCARPARK tidak akan mengeluarkan apa-apa senarai kerana aku hanya mendengar yang sudah-sudah  (lagu La Obe – The Swallows sudah lebih 10 kali berulang-ulang berkumandang di headphone). Sila beri tunjuk ajar! SEIR

tujuh inti untuk khatarsis

In The SEVEN (Only) on December 5, 2008 at 12:48 pm

1. Tunduk
2. Sukar
3. Syukur
4. Kata-kata jadi getar
5. Syahdu-syahdan
6. Hidup jadi seperti melodi
7. Hangin