rawkcarpark

scts: the great battle

In album on December 30, 2009 at 9:09 am

The Great Battle
SevenCollar T-Shirt
Laguna Music
2009

Adalah satu hal yang perih untuk mengekalkan komitmen sesebuah band dalam bermuzik. Komitmen yang dimaksudkan di sini adalah dari pelbagai rupa dan sudut; mengekalkan energi dan mengembangkan ruang muzik peribadi, keupayaan untuk kekal fokus dan tenggelam dalam proses panjang menulis sebuah muzik dan mungkin kesabaran yang sering teruji apabila semua tingkat-tingkat proses ini melibatkan lebih dari satu otak dan perangai.

Apa lagi untuk meyakinkan diri sendiri agar  mempercayai kredibiliti muzik yang dibawa. Terutamanya di Malaysia, apa sebenarnya yang diharapkan dengan sebuah muzik, kalau bukan satu perkataan cliché ini yang mampu menyelamat dan menenteramkan diri buat sementara; kepuasan – kepada diri sendiri dan juga mungkin kepada segelintir penikmat muzik dari kelompok yang sama.

Sekadar serkap jarang, mungkin hal-hal inilah yang menggetus dorongan SevenCollar T-Shirt (SCTS) meletakkan kata-kata ini sebagai judul album hasil kerja tangan terbaru mereka – ‘The Great Battle’.

Di tahun-tahun awal 2000-an, ada beberapa lagi band yang seiring dengan SCTS, berlegar disirkit-sirkit gig tempatan menjaja kreativiti yang waktu itu mungkin akan disambut atau pun ditolak. Sekadar menyebut beberapa nama, Prana dan LYME misalnya sudah tidak kedengaran dan kekal nokhtah atau koma yang panjang  di dalam vakum perjalanan sejarah muzik bukan perdana tanah air. Tetapi, SCTS tidak. Melihat dari sudut ini, untuk mereka sampai ke tahun 2009, dengan beberapa kali pertukaran ahli, juga dengan bekal tiga album rakaman yang baik, itu sendiri sudah menjadi satu pencapaian yang tinggi bagi SCTS, harapnya.

Dengan album baru ini SCTS menunjukkan beberapa sisi baru mereka sebagai sebuah band – terutama sekali kepada material muzik – berbanding dua album sebelumnya.

Tidak ada lagi komposisi muzik dengan counting yang tidak lazim, progresi kord dan kerja guitar yang aneh-aneh juga mungkin berkurangan. Yang ada kali ini ialah sebuah susunan lagu-lagu di dalam album yang kemas, penulisan muzik yang semakin ringkas tetapi menggamit halwa telinga dengan komposisi, mood dan tempo yang pelbagai. Menilai daripada rakaman studio ini juga, tidak kedengaran mana-mana instrumen lain digunakan. Keseluruhan energi SCTS kali ini ditompokkan pada instrumen asas kugiran mereka – gitar, dram, bass dan vokal – dengan kekuatan yang ada dipindahkan kepada muzik baru yang dilahirkan.

Kita akan melihat dan merasakan selera baru muzik SCTS. Vokal Saiful Ridzuan kali ini menjadi satu aset yang akan memaksa pendengar untuk memberi perhatian yang lebih. Tona, kekuatan serta sebutan kini berada pada tahap terbaik, dengan kejelasan yang kristal – jika dibandingkan dengan usaha sebelumnya. Kalau ada yang merungut mahukan ‘vocal projection’ lama Duan dengan SCTS seperti dulu, itu terserah.  Tetapi, hal itu tidak akan ditemukan di dalam album ini. The Great Battle barangkali merupakan usaha rakaman pertama vokalis mereka memusatkan semua upaya dan tenaga seperti yang ditekuni ketika kursus vokal di UiTM. Ada perbezaan ketara antara ‘sebelum’ dan ‘selepas’ period itu yang ditonjolkan olehnya. Yang pasti, vokal kali ini semakin ‘polished’ dan meresap elok ke dalam muzik baru yang dihasilkan.

10 lagu dimuatkan, dengan pelbagai ritma dan perasaan yang sarat. Single pertama, Wild Child (Here For You) adalah contoh sederhana kepada bunyian keseluruhan yang terkandung untuk di dengar. Sesekali selera pendengar akan dilunakkan dengan lagu rentak perlahan seperti pada lagu Fibres dan terus kepada mood semi-akustik pada lagu The Foreigner. Selang beberapa waktu yang lain pula, kita akan mendengarkan sebuah lagu yang menghimpun gerak untuk ke kemuncak yang pantas, seperti yang terlihat pada track December.

SCTS, selepas tiga album, masih lagi selesa dengan lirik Inggeris dan tetap yakin dengan pilihan itu. Dan, sebetulnya, mungkin juga itu bukan satu masalah bagi mereka. Selagi mana SCTS yakin dengan pilihan yang dibuat, dan masih bersemangat mahu mempengaruhi selera muzik khalayak di Malaysia, selagi itu jugalah harapan yang tinggi disandarkan kepada mereka untuk terus menolak keterbatasan yang dirasakan mengongkong. Setakat usaha terbaru ini, mereka memang menonjolkan diri sebagai sebuah band muda Malaysia yang punya semangat dan komited dengan muzik sendiri, tanpa segan silu.

Di awal penglibatan mereka dulu, mungkin ada suara-suara yang membandingkan muzik SCTS dengan Dave Matthews Band dan Radiohead, dengan nada sindiran. Tetapi, kini nampaknya dua nama itu akan hilang tertinggal entah di mana dari muzik mereka. Yang pastinya, beberapa petua dan terapi dicuplik oleh SCTS untuk kebaikan perjalanan muzik band berkenaan – terutamanya keberanian dan kecairan alur muzik yang mengunjur ke daerah tersendiri. Jika disorot kembali, dua bayang besar yang dibandingkan dengan SCTS itu boleh juga dilihat sebagai semacam satu ‘pengiktirafan’ terhadap muzik mereka sendiri; mana tidaknya, apa rasa kalau muzik kecil dari Malaysia sudah mahu disebut-sebut dan dibandingkan dengan muzik band-band besar dunia – walau dengan apa maksud sekalipun?

Selamat memiliki dan menikmati The Great Battle, yang mungkin menjadi buah tangan muzik paling bermakna untuk tahun 2009 kepada ramai orang, terutama kepada penikmat muzik SCTS yang lama mahupun yang baru.

.
– HH, 27 Disember 2009.

  1. lu punya gaya bahasa superb bro! tabik

  2. Toce. Aku hutang SGE punya, akan datang… :p

    -HH

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: