rawkcarpark

Archive for the ‘reviu album’ Category

Nuansa pop dan bahasa muzik sinikal

In reviu album on February 17, 2010 at 1:53 pm

The Pips
Tug Of War
Knot Records
2009

Di antara melodi ringan dan lirik-lirik yang menurut kata mereka, punya tanggapan dan kesedaran sosial, di situlah semangat, tenaga dan mungkin juga jasad The Pips dipusatkan.

Saya ‘mendengar’ mereka terlebih dahulu sebelum sempat berkenalan dengan nama The Pips sebagai sebuah band solid beberapa tahun kebelakangan.  Malam itu, ditahun 2008 dan bertempat di The Annexe Central Market, saya menikmati persembahan mereka dibarisan paling belakang di antara ramai orang.

Dengan hanya berbekalkan set yang ringkas; satu-dua gitar tong dan seorang penyanyi wanita dengan vokal serak-basah, persembahan itu kiranya menerima tepukan besar juga. Lagu cover, Blowing In The Wind daripada Bob Dylan ketika dimainkan mengingatkan saya kepada persembahan live Joan Baez seperti yang terselit di dalam CD runut bunyi filem Forest Gump.

Kemudian, mereka membawakan lagu Change. Sekejap itu potret John Lennon seperti terpampang di dinding imajinasi. Juga tenang walaupun dari baris-baris ayat yang dilagukan, ada semacam satu desakan untuk perubahan. Mengenang latar waktu itu, dan kemudiannya disahkan oleh band ini sendiri, ia tentu pasti merujuk kepada desakan terhadap perubahan politik semasa Malaysia. Saya tidak merasa akan mendengar daripada mereka lagi selepas itu.

+++

16 Januari 2010. Saya belum kenal dengan nama The Pips. Tetapi, di ruang tamu Lot Republik Anak Muda (RAM) di Jalan Terasek, Bangsar itu, saya berjumpa kembali dengan wajah-wajah yang seperti biasa dilihat.

Malam itu, The Pips merupakan tamu sesi diskusi muzik dan persembahan akustik anjuran RAM. Ruang utama semakin lama semakin dipenuhi. The Pips membuka tirai pengenalan malam itu dengan memainkan lima buah lagu akustik yang dipetik daripada album ini. Suasana yang awalnya kaku, perlahan-lahan menjadi lebih enak. Yang hadir mula mengenali The Pips, menerusi lagu-lagunya yang santai. Yang belum pernah mendengar juga rasanya tidak memerlukan masa yang lama untuk mula menikmati tona bunyi dan melodi ringan yang dibawakan band ini.

Di dalam banyak-banyak perkara yang disentuh atau ditanyakan waktu itu, pernyataan mereka berkenaan pendekatan penulisan muzik antara yang menarik untuk diteliti. “Kami penulis muzik dan lirik berkaitan perkara-perkara yang berlaku disekeliling, berkenaan hal-hal sosial dan politik semasa,” kata-kata yang seperti dipersetujui oleh semua mereka, ketika merujuk kepada lagu-lagu yang ditulis. Mengingat kembali kata-kata pemain gitar band ini, Alak, dia menyifatkan; “dalam keadaan yang memerlukan dan mendesak, kami ingin berbuat sesuatu untuk disumbangkan kepada keadaan itu. Dan, menghasilkan muzik dengan lirik seperti yang dilakukan inilah yang termampu kami lakukan. Mungkin bagi sesetengah orang, usaha itu tidak seberapa dan kecil, bagi kami sekurang-kurangnya ia adalah satu bentuk pencapaian ekspresif.”

Tetapi, apa kelainan The Pips? Dalam memberi komentar mereka tentang isu-isu sosial yang dipilih – yang kedengarannya seperti sudah selalu benar diungkapkan oleh banyak band lain – ada kekuatan lain yang memikat pada band ini. The Pips tidak melaungkan gema-gema keras dengan muzik yang hingar-bingar yang penuh bertakung kata-kata amarah. Mereka mengulit hal-hal serius ini di dalam melodi yang mudah. Mereka mengikat muzik dan seni kata secara langsung di dalam ritma yang tenang dan berlenggok pop. Tiada jeritan. Tiada laungan revolusi. Tiada apa-apa seruan yang akan membuatkan kita lelah. The Pips tidak sama seperti kebanyakan band-band baru lain yang kini sedang ghairah bersarang dan menunggang  populariti menyesakkan di stesen-stesen radio seperti X.FM, misalnya, yang tetap layu dan terperangkap dengan substans muzik dan lirik yang tidak berkembang dan selari dengan semangat dan tenaga muda-mudi seperti yang diharapkan – walaupun sudah menemui saluran perdana yang meyakinkan. Hasil-hasil di situ masih boleh diragui.

Lima lagu yang dimainkan secara akustik malam itu ialah;

Dungeon, sebuah lagu pendek yang dibiarkan terdampar dengan nada dan pelat British yang pekat. Paten lagu yang juga mudah – verse/bridge/chorus – ia akan meninggalkan telinga pendengar sebelum sempat kita meramahinya.

Ashes In The Wind yang berbicara dan mengingati Altantuya, seorang wanita cantik yang tubuhnya dibom, yang kemudiannya menjadi ‘debu meruap dan diterbangkan angin’. “Melalui lagu ini, kami tidak menuding jari kepada siapa-siapa. Dengan penuh kesadaran tentang hal-hal seputar hak asasi dan kekejaman, kami sebut Altantuya ini agar kisahnya  sentiasa akan dikenang dan orang tahu yang masih ada perkara yang belum selesai dengan individu ini. Itu antara cara kami mengetengahkan isu berkenaan,” ujar The Pips.

Change pula mengesahkan ingatan saya kepada lagu dan nada-nada mereka. Ia sebuah lagu yang paling ringkas dari aspek penggunaan alat muzik, termasuk pada versi yang dirakamkan untuk rilisan ini. Hanya dua lapis riff gitar dan tamborin sahaja yang menemanu persembahan vokal pada lagu berkenaan. Selebihnya, keinginan untuk ‘perubahan’ itulah yang berbicara dengan semangat yang tak mahu kalah.

Hukum Rimba – lagu cover daripada band punk Indonesia, Marjinal. Versi The Pips ini juga tidak kalah energinya. Tetap menjadi lagu dengan tempo paling cepat di antara lagu-lagu lainnya. Ia juga akan menyelubungi ingatan kita kepada insiden-insiden ketidakadilan sosial orang-orang kecil tertindas dan perundangan serta paling utama, rasuah.

Pernyataan paling kuat rasanya dibikin oleh Hana, sang vokalis, ialah dengan lagu Perempuan Merdeka. Rasanya lagu ini sudah cukup untuk menggambarkan muzik The Pips secara keseluruhannya. Menyentuh tentang kesamarataan, penindasan serta layanan antara lelaki-perempuan, ia tidak pula membayangkan kewujudan sisi-sisi ‘anti’ bagi mana-mana kelompok di dalam membawakan hal ini. Suara-suara ini minta untuk didengari, tetapi tidak memaksa kita untuk menelannya terus. Agaknya, hanya menggetus cebisan-cebisan ingatan dan perasaan. Selebihnya terserah kepada yang mendengar.

Kesediaan The Pips untuk berinteraksi dengan rendah hati malam itu agaknya antara perkara membuatkan hadirin tergerak untuk cuba  mendengar dengan lebih teliti muzik The Pips – dan sekali gus menghargai  dan menghormati usaha mereka.

CD ini, mungkin boleh dianggap EP atau mini album, merupakan buah tangan pertama mereka dalam format rakaman. Dirakam dan dibiaya sendiri dengan bantuan rakan-rakan dan tidak membabitkan mana-mana label besar, The Pips kini sudah bersedia untuk menjaja muzik yang ditulis. Walaupun masih selesa dengan kelompok muzik pinggiran, dengan kekerapan berlegar si lingkungan-lingkungan pendengar yang kecil, The Pips pada masa yang sama tidak risau sekiranya nama itu menjadi semakin besar dan menarik perhatian. “Kalau lagi ramai yang mendengar muzik kami dan sukakannya, itu tidak menjadi masalah buat The Pips,” tambah mereka. Pada masa yang sama, The Pips masih tegar dengan aliran DIY dan menolak bentuk-bentuk establishment di dalam bermuzik.

Simplistik, tetapi masih terkawal aspek-aspek rakamannya, Tug Of War mula diedarkan pada penghujung 2009 dengan lapan buah lagu disertakan. The Pips, yang dirujuk oleh mereka sendiri sebagai sebuah ‘open band’ dianggotai sebahagiannya oleh Hana (vokal), Ekin (gitar), Alak (gitar/-Pusher, Carburetor Dung) dan koma dan koma. Belum nokhtah.

Untuk sebarang pertanyaan dan pesanan CD, mereka boleh dihubungi melalui laman Myspace (myspace.com/thepips666) atau emel ke thepipsters@gmail.com.
.

.

Hafiz Hamzah, 5 Februari 2010.
Pertama kali terbit di JalanTelawi.com.

reviu album: backspacer

In reviu album on October 5, 2009 at 10:01 am

backspacer-cover1

Backspacer
Pearl Jam
Universal Music Group
2009

Apa memori terakhir tentang Pearl Jam yang masih bergema di dalam benak kamu? Ketika mula mahu mendengar album terbaru mereka ini – album studio ke 9 – seluruh kekaguman terhadap mereka terpaksa dilucutkan. Dilucut bukan kerana kecewa atau apa-apa, tetapi semacam satu persiapan untuk menerima hasil kerja terbaru ini dengan bersungguh dan gemuruh dengan jangkaan-jangkaan yang tak pasti.

Pearl Jam, sebuah grup rock yang terakhir kiranya mampu bertahan dari kelompok gerakan muzik Seattle 90an dan, mereka masih mahu untuk terus memahat tugu muzik sendiri dengan penuh rasa ghairah dan fokus yang bukan kepalang. Dulu, mereka sudah menutup mulut sinis yang mencebik bibir dengan gaya muzik muda-mudi yang mereka hasilkan. Tiga album terawal, Ten, Vs. dan Vitalogy mempamerkan stamina luar biasa mereka; bukan hanya stamina fizikal, tetapi turut merangkum stamina keberanian, stamina idea dan keyakinan terhadap muzik yang dibawa.

Kini, dengan Backspacer, ada lagi pernyataan yang disampaikan oleh album ini. Mereka kembali berkerja dengan penerbit Brendan O’Brien yang kali terakhir bersama ketika melahirkan Yield. Menurut satu kenyataan oleh Eddie Vedder, ini disebabkan kesediaan mereka untuk memberi ruang kepada ‘orang luar’ untuk campur tangan dan bersuara terhadap apa saja aspek muzik Pearl Jam. “Kami dapat tahu Bruce Springsteen juga memberi ruang kepada beliau (Brendan) untuk melontar pandangan tentang  kerja muzik beliau, jadi, kali ini, mengapa tidak kami juga berbuat perkara yang sama,” kata Vedder. Sebelum ini, apa saja idea dan pandangan Brendan tidak akan dilayan oleh mereka – sama sekali.

Pertama kali mendengar lagu pertama dari album ini – Gonna See My Friend – entah bagaimana pembukaannya menggamit semula ingatan kepada sebuah lagu lain, dengan judul Los Angeles Is Burning daripada Bad Religion. Dan, ia memberi isyarat yang agak jelas kepada mood keseluruhan yang terkandung di dalamnya.

Album ini kembali dengan tempo yang pantas, tona punk yang kembali pekat dengan semangat seperti dikala muda, oleh ahli-ahli dan grup ini sendiri. Dan itu mungkin penjelasan yang tersirat disebalik segala dentam-dentum dram, suara garau dan jerit gitar yang tersusun rapi pada Backspacer.

Bagaimana membaca Backspacer itu terpulang kepada yang mendengar dan memerhati perkembangan grup ini dari satu album ke satu album. Cuma, yang agak ketara ialah hal ini; Pearl Jam seperti mahu mengembalikan diri mereka menghampiri titik awal – dan melangkau ruang-ruang diantaranya – sewaktu mereka bermula dengan muzik yang sudah berkelansungan merentas dua dekad ini. Dan pastinya, perjalanan itu tidak akan indah tanpa ada yang meraikan – pendengar dan peminat.

Maka, dengan Backspacer, Pearl Jam mengulang masa dan ruang untuk menyuntik nostalgia muzik-muzik awal mereka. Walaupun pada dasarnya, muzik yang terhasil di dalam Backspacer ini lebih molek dikelompokkan sekali dengan dua lagi album sebelumnya – Riot Act dan Pearl Jam – tetapi ia mengandung tenaga yang lebih dan perasaan yang melonjak-lonjak untuk meraikan destinasi muzik terbaru grup yang sentiasa cemerlang di pentas ketika ‘live’ ini.

Bagi berkenalan dengannya, dengarkan dulu judul ‘The Fixer’, yang juga single pertama yang datang sekali dengan klip video di internet. Ia, seperti yang dinyatakan tadi, mengandung semangat dan arah keseluruhan album ini, yang menyuntik punk di dalam muzik, pada usia tua oleh pembikinnya – mungkin.

Kemudian, ‘Force of Nature’ juga sebuah lagu yang kuat bagi Backspacer. Dengan melodi sayu yang digenggam kuat oleh muzik dan tempo yang tenang, menyampaikan satu perasaan yang sarat dengan kesedaran dan bersiap untuk penyerahan kepada sesuatu yang ada diluar lingkar kemampuan.

Dua lagu balad, ‘Just Breathe’ dan ‘The End’ menjadi selingan yang lebih minimal, dengan seri yang tertumpu kepada suara tak lurus Eddie Vedder.

Secara muzikal, Pearl Jam masih mempunyai tenaga untuk terus berelaborasi dengan ruang lingkup muzik mereka selama ini. Pengaruh muzik-muzik baru juga masih tidak meresap banyak di dalam album mereka setakat ini. Jadi, ini sedikit melegakan kepada mereka yang selalu berasa terputus dengan genre muzik baru yang lahir. Sekurang-kurangnya, masih ada ruang dan muzik yang boleh membayangkan jiwa muzik kelompok ini. Terima kasih, Pearl Jam, kerana masih setia dengan diri sendiri.

“I don’t wanna hurt, there’s so much in this world that make me bleed.”  –Just Breathe, Pearl Jam.

 

*Backspacer dirilis pada 20 September 2009, seluruh dunia.

 

Hafiz Hamzah
5 Oktober 2009

jerome kugan – songs for a shadow

In reviu album on May 14, 2008 at 1:00 pm

 

 

 

 

 

 

 

 .

.

Songs for a Shadow
Jerome Kugan
Troubadours Enterprise
2008

“I like the way it makes me feel…” Bait korus lagu ini seperti memaklumkan apa yang seharusnya melayar sama halwa telinga dan rasa kalbu ketika menunggu cakera ini terus membenam khayal. Dalam suasana tenang, ada alun suara yang memanggil datang semangat untuk memasak (pasak) keberadaan manusia sebagai satu susuk yang lemah. Album ini – Songs for a Shadow – mungkin hasil kerja yang cukup baik oleh seorang penyanyi angkatan muda, Jerome Kugan, dalam konteks usaha sendiri untuk sebuah album daripada kelompok muzik independen yang pernah Malaysia lahirkan. 

Nyanyian tidak pernah sama bila ia datang dari suara halus hati yang luhur. Dalam nada lembut suara yang dilontar, disambut oleh komposisi muzik yang ringkas dan bersih, Jerome sememangnya dapat mencapai apa yang beliau inginkan dengan album ini. Elektro-akustik, nama seperti yang ia mahu untuk dikenali – atau mungkin juga nama-nama lain – itu bukan masalah.

Di langkau lagu-lagu terawal, beliau melaungkan dengan suara rendah; “this exellent love…” Dan terus-menerus dalam album ini, coretan-coretan lirik yang tinggi prosa dan asyik melingkar setiap aturan lagu. Album ini meletakkan standard yang lebih tinggi dari aspek kualiti dan hasil kerja yang juga amat teliti. Mungkin selepas ini, dari mana-mana penggiat muzik muda, perlu mengatasi tahap seperti apa yang telah dikeluarkan oleh album ini.

Ia berada di daerah-daerah terbiar antara pop, anti-establisment dan komersil. Dari sudut yang berbeza, hasil kerja ini menjawab kepada sikap, atau attitude pemuzik bebas di Malaysia yang paling kerap memandang enteng gaya penulisan lagu mereka. Ramai yang hebat bermain  muzik, ramai pengikut tetapi – dalam sedar atau tidak, kebanyakannya menulis lagu-lagu yang entah apa-apa – sama dengan sikap itu, yang lahir juga enteng-enteng. Kalau ingin tahu maksud ayat ini, selidik lirik-lirik lagu mereka. Kering, pakai rembat dan pada tahap-tahap yang kronik, kosong. Tidak membawa apa-apa nyawa. Andaikan saja orang yang tidak membaca tetapi menulis. Yang ditulis itu hanya susunan alphabet dan bukan sepotong ayat yang membawa maksud.

Setakat apa yang ada sehingga hari ini, Songs for a Shadow harus diambil serius. Banyak perkara yang boleh dipelajari darinya. Setelah lama dihadapkan dengan kerja-kerja yang sederhana, sesekali ditemplak oleh kerja seperti ini kembali menyedarkan dari tidur yang panjang. Ini album yang tasteful, tidak kira apa muzik yang diagungkan selama ini. Dan kita, pada waktu-waktu tertentu, perlu belajar untuk menyelami maksud muzik itu secara universal dan bukan secara partial.

Dapatkan album ini.

– Hafiz Hamzah –