rawkcarpark

Archive for February 25th, 2010|Daily archive page

jayzuan @ love-fi

In album on February 25, 2010 at 9:08 am

Mohd Jayzuan
Love-fi
2008

Petang itu, di Rumah YKP di Ipoh, Mohd Jayzuan (Jay) bercerita ringkas tentang proses rakaman album kedua beliau. Dan juga tentang muziknya, jiwanya. Syd Barrett antara nama yang disebut-sebut. “Aku nak buat hal-hal muzik macam dia. Orang yang dengar Syd akan tahu apa maksud aku,” katanya.Yang dimaskudkan dengan Syd itu ialah muzik, nyanyian dan album bekas anggota Pink Floyd itu. Vokal meleret, tak sedap, slacker dan ringkas. Tetapi masih mahu jujur, sekurang-kurangnya untuk diri sendiri dan tidak mengambil kira sangat cakap-cakap orang. “Aku suka kejujuran dia dalam album-album solo yangpernah dirakam,” tambah Jay lagi.

Dan, seperti itulah kerja-kerja muzik Jay di dalam album solo sulung ini, Love-Fi. Seperti yang ditulisnya pada kulit dalam CD ini; dia bukan seorang penanyi yang baik. Tetapi, masih setia dengan muzik yang dipercayai itu. 14 trek lagu ringkas, off-tune, sumbang dan menulis tentang hal-hal sekeliling dirinya sahaja.

Kini, dengan sentuhan rakan-rakan, dia sedang melangsaikan proses produksi album kedua. Rakaman telah siap. Dijangkakan akan dipasarkan menjelang Mac atau April nanti. “Untuk album yang ini, banyak kelainan akan diketengah. Mungkin pendengar yang suka album pertama akan susah nak terima arah muzik pada album kedua ini. Tapi, itu yang aku nak buat.”  Sama ada mahu bersetuju atau sebaliknya, itu hal masing-masing yang mendengar. CD ini masih boleh didapati daripada tuan empunya badan. Boleh dihubungi melalui emel mohdjayzuan@gmail.com dan tanyakan sendiri kepada Jay.

-HH, 25 Februari 2010

libretto

In band on February 25, 2010 at 8:24 am

Libretto
Disc:Losure
2008

Libretto meraikan muzik-muzik millenium. Kitaran emosi yang sarat, variasi melodi ringan dan menggenggam halwa telinga generasi-generasi peminat muzik dan bunyian baru. Kerap mengingatkan kita kepada band-band seperti Sparta. Dan Hundred Reasons mungkin, yang penuh dengan pernyataan-pernyataan muzik yang tidak mahu pemusatan stereotaip.

 Rakaman EP ini kemas dan jelas, dengan lima lagu (dan muzik) yang akan menyenangkan selera kamu. Ia dibuka dengan susunan muzik Synthesizer yang ringkas padat. Juga ditutup dengan lagu sama di dalam komposisi yang berbeza. Di antara dua lagu ini, bunyi-bunyian (dan kesan bunyi) alat muzik elektrik dan elektronik yang eksperimental akan kedengaran dan membuai-buai juga. Entah macam mana, telinga perempuan lebih lekas meramahi muzik Libretto. Sekali-dua dipasangkan, sudah tersangkut hati. Buat ketika ini, Libretto berhibernasi disebabkan tuntutan kerja hakiki. Beberapa waktu di dalam tahun 2008, mereka pernah membuat penampilan live, termasuk di Laundry Bar, The Curve – dan mendapat pujian berbekalkan muzik dan kesungguhan yang dipamer.

Kepada yang terlepas untuk mengenali band ini, salinan EP Disc:Losure masih boleh diperoleh dengan menghubungi terus Libretto; libretto_band@yahoo.com dan nazrulhakimputra@yahoo.co.uk atau layari myspace.com/librettoband.

Jangan merajuk jika mereka lewat membalas emel-emel kamu, kerana mereka mungkin sedang berada di tengah lautan entah di mana, mencari ilham-ilham baru untuk membikin muzik lagi.

Selamat menikmati.

Lagu-lagu:

Skies & Robots (Lufturnich)
Novelist, The
Ho-Ja
They’re Here But We Ain’t Ready
Skies & Robots (Mechanism)

-HH, 25 Februari 2010.