rawkcarpark

rtw8 – gemuruh antara langit dan ekonomi

In Uncategorized on December 23, 2008 at 10:30 am

Saya berjalan masuk ke perkarangan ‘Taman Rahsia’ itu – bersama ratusan yang lain – sekitar jam 7.12 malam – 20 Disember 2008. Hujan mengiringi kami dan senyap pentas membawa bersama rasa dan cerita yang tak terkarang. Banyak kisah yang menyelubungi perjalanan RTW8 ini. Sebelumnya, saya bertandang ke festival filem Russia di Pusat Persidangan Kuala Lumpur, menonton filem yang penuh inspiratif untuk peminat muzik – Tchaikovsky – kisah seorang komposer klasikal Russia yang penuh drama berat. Sabtu yang penuh kenikmatan.

Beberapa waktu sebelum itu, saya duduk bersembang dengan teman-teman baru dan lama tentang banyak hal seputar perkembangan muzik tempatan. Banyak keluh kesah kedengaran. Ketika itu juga terdengar cerita yang RTW kali ini sukar mendapat penaja. Tiada pulangan setimpal, ‘bad repo’ dan sebagainya antara penyebab yang dirasakan.

Kemudian, jika kamu pernah bertandang ke JunkOnline – di bawah entri RTW8 – komentar ‘keras’ yang dilontar para hero-hero siber juga bagi saya semakin menonjolkan kebebalan diri sendiri. Dari menghentam penganjur, medium itu kemudiannya bertukar menjadi tapak silat untuk mereka-mereka ini berperang untuk menunjukkan siapa lagi hebat. Itu bagi saya memperlihatkan di mana dan bagaimana orang-orang yang katanya berselingkuh di dalam ‘scene’ muzik tempatan ini berfikir. Dan itu juga – bagi saya – amat memalukan. Saya sedar satu perkara, sekarang ini semua orang sudah pandai – sehingga menjadikan kepandaian itu satu kebodohan baru.

Saya tinggalkan semua itu di luar pintu masuk konsert dan melangkah dengan hati yang lapang. Cuaca hujan renyai sejuk banyak memberikan keselesaan. Ada hal yang seronok dan ada hal yang tak membuat kita rasa seronok. Sepanjang persembahan sebelah malam itu, para hadirin yang sedikit kritikal akan dapat mengesan beberapa perkara. Saya banyak tertumpu kepada sistem audio yang ada. Ia cukup untuk menampung skala konsert itu tetapi yang menjadi masalah ialah mungkin terselit antara band yang terlibat dan juga kapasiti peralatan audio berkenaan.

Pada sesetangah band, saya rasa selesa dengan keadaan bunyinya, tetapi pada sesetangah band lain, bunyi yang keluar terasa melampau-lampau dan tak terkawal. Dan saya mengekalkan posisi ditengah ‘crowd’ di bahagian tengah arena itu atas satu alasan – untuk merasakan kesan audio ‘live’ yang optimum, walaupun ada masanya saya termasuk di dalam selut lumpur dan cuba sehabis mungkin mempertahankan posisi itu dengan melawan ombak kelompok mosh-pit yang sedang menikmati keseronokan tersendiri.

***

Di sini saya coretkan pengalaman ringkas sendiri dengan setiap band yang terlibat, ditengah-tengah orang ramai malam itu (*tanpa mengikut urutan saya rasa).

The Otherside Orchestra

Dari jauh, ini band pertama yang saya dengari dari atas pentas. Saya sakit dengan bunyia keseluruhan mereka tetapi saya juga masih boleh menikmati muzik band ini. Ia membawa saya untuk terkenangkan The Cure – dengan komposisi muzik moden mereka, beserta synthesizer mungkin – dan dengan vokalis wanita, pengunjung rasanya turut merasa dekat dengan lagu-lagu band ini. (Pada satu titik di dalam tahun ini, saya berselubung dengan kerja-kerja The Cure untuk memahami sedikit sebanyak kehebatan mereka, dan ini saya kira titik penyambung antara saya dengan The Otherside Orchestra).

Bittersweet

Band pertama yang memubuatkan saya rasa selesa dengan pantulan bunyi-bunyian mereka. Semakin ramai yang menyesak ke depan. Kelihatannya seperti band ini berjaya memukau pendengar-pendengar muda yang sepanjang persembahan berkenaan menyanyi dan melompat bersama. Juga, yang menarik perhatian saya ketika selingan antara lagu adalah ayat-ayat ini yang disampaikan dengan lenggok gurindam oleh vokalisnya : “Tersebutlah kisah, di sebuah negeri/ di mana menteri-menteri menipu rakyatnya..” Kucing Hitam yang membuka selera dan mahu tidak mahu, orang patut akur dengan energi muzik dan persembahan band ini.

Estranged

Ya, mereka sudah dikenali dan lagu-lagunya juga baik – kepada setengah-setengah orang. Maka ramailah insan-insan bertudung tiba-tiba memunculkan diri dan menyisihkan yang tua-tua ke tepi sedikit. Lagu-lagu yang dibawa kebanyakannya yang sudah ramah dengan halwa pendengar radio, dan sebutir dua dari album baru mereka – Remain Unkown. Juga, ketenangan Malena sang pemain bass ketika dia membetulkan tune bassnya yang sudah lari cukup menyenangkan walaupun tak ramai yang perasan. Ini berlaku ketika mereka sedang memainkan lagu kedua – Itu Kamu.

The Times

Antara band yang menerima sambutan hangat mengiringi ‘pencapaian’ Bittersweet malam itu. Muzik ringkas dengan lirik mudah saya kira menjadi ubat untuk band ini menangkap selera orang. ‘Gadisku Dalam Koma’ dan ‘Dari Singapura Ke Kuala Lumpur’ menjadi mentera malam itu, gemanya dari audien sampai ke ruang vakum di udara.

Revenge

“Kepada sesiapa yang kata Rock Kangkang sudah mati, kamu semua boleh keluar dari sini.” Itu cakap-cakap Ayid, vokalis Revenge ditengah-tengah set mereka. Sebelumnya, dia melempar ‘mic stand’ ke arah penonton walaupun ketika itu dia belum pun mula menyanyi. Bunyinya negatif, tetapi itulah hakikat malam itu. Saya tiada masalah dengan muzik mereka, cuma tidak gemar melihat telatah sebegitu. Balingan kasut Aliph dihujung persembahan juga tidak dapat mengubat rasa hati – itu pun kepada kelompok penyokong mereka di dapen pentas. Yeah… REVENGE.

Koffin Kanser

Band ini mempamerkan kawalan audio yang baik. Namun, saya tidak rasakan muzik mereka mampu untuk memeluk audiens malam itu. Set biasa yang pernah kita lihat sebelum ini – beberapa batang didgeridoo, set percusionis dan riff ala Aru yang biasa.

One Buck Short

Band ini menjadikan audiens meriah. Persembahan energetik dan saya kira, bilangan yang menunggu persembahan mereka cukup ramai. Ruang jadi penuh dan orang berseronok.

Butterfingers

Melihat daripada sambutan dan keghairahan sebilangan besar penonton malam itu, Butterfingers seperti ditunggu-tunggu dan dialu-alukan oleh audiens RTW8. Set mereka tanpa kehadiran Loque, dan bagaimana pun ia tetap menggamit tumpuan ramai. Lagu-lagu dari legasi muzik mereka sejak awal seperti memberi peluang bernostalgia kepada peminat-peminatnya. Ruang jadi semakin padat dan orang menjadi semakin girang.

***

RTW8 walaupun tanpa penaja besar saya kira sudah melakukan sesuatu yang baik juga. Ya, cacat-cela tidak dapat dielakkan  tetapi perjalanan keseluruhan acara dan sambutan orang ramai sudah dapat menyenangkan hati penganjur.

Dari perkiraan ralat saya, bilangan penonton mencecah angka 3,500. Untung atau rugi yang dicatatkan bukan masalah utama. Keupayaan dan usaha besar untuk mengekalkan momentum dan terus berinovasi itu yang penting. RTW8 rasanya mampu membuatkan penganjur – Fat Boys Record – lega. Entahlah.

Seorang teman berbisik ketika kami beransur dari situ, “nampak gaya makin banyak band yang bercakap dan membuat lagu tentang politik,” katanya. “Kesedaran penting untuk membuatkan kita lebih realistik dan merendah diri,” balas anak hati saya ketika kami mengharungi lautan manusia untuk pulang sambil mengurut pinggang.

Hafiz Hamzah / 23 disember 2008

  1. Owh… pakcik teringin sangat nak tengok band butterfingers n estranged buat show!!

Leave a comment