scts: the great battle

Posted in album on December 30, 2009 by rawkcarpark

The Great Battle
SevenCollar T-Shirt
Laguna Music
2009

Adalah satu hal yang perih untuk mengekalkan komitmen sesebuah band dalam bermuzik. Komitmen yang dimaksudkan di sini adalah dari pelbagai rupa dan sudut; mengekalkan energi dan mengembangkan ruang muzik peribadi, keupayaan untuk kekal fokus dan tenggelam dalam proses panjang menulis sebuah muzik dan mungkin kesabaran yang sering teruji apabila semua tingkat-tingkat proses ini melibatkan lebih dari satu otak dan perangai.

Apa lagi untuk meyakinkan diri sendiri agar  mempercayai kredibiliti muzik yang dibawa. Terutamanya di Malaysia, apa sebenarnya yang diharapkan dengan sebuah muzik, kalau bukan satu perkataan cliché ini yang mampu menyelamat dan menenteramkan diri buat sementara; kepuasan – kepada diri sendiri dan juga mungkin kepada segelintir penikmat muzik dari kelompok yang sama.

Sekadar serkap jarang, mungkin hal-hal inilah yang menggetus dorongan SevenCollar T-Shirt (SCTS) meletakkan kata-kata ini sebagai judul album hasil kerja tangan terbaru mereka – ‘The Great Battle’.

Di tahun-tahun awal 2000-an, ada beberapa lagi band yang seiring dengan SCTS, berlegar disirkit-sirkit gig tempatan menjaja kreativiti yang waktu itu mungkin akan disambut atau pun ditolak. Sekadar menyebut beberapa nama, Prana dan LYME misalnya sudah tidak kedengaran dan kekal nokhtah atau koma yang panjang  di dalam vakum perjalanan sejarah muzik bukan perdana tanah air. Tetapi, SCTS tidak. Melihat dari sudut ini, untuk mereka sampai ke tahun 2009, dengan beberapa kali pertukaran ahli, juga dengan bekal tiga album rakaman yang baik, itu sendiri sudah menjadi satu pencapaian yang tinggi bagi SCTS, harapnya.

Dengan album baru ini SCTS menunjukkan beberapa sisi baru mereka sebagai sebuah band – terutama sekali kepada material muzik – berbanding dua album sebelumnya.

Tidak ada lagi komposisi muzik dengan counting yang tidak lazim, progresi kord dan kerja guitar yang aneh-aneh juga mungkin berkurangan. Yang ada kali ini ialah sebuah susunan lagu-lagu di dalam album yang kemas, penulisan muzik yang semakin ringkas tetapi menggamit halwa telinga dengan komposisi, mood dan tempo yang pelbagai. Menilai daripada rakaman studio ini juga, tidak kedengaran mana-mana instrumen lain digunakan. Keseluruhan energi SCTS kali ini ditompokkan pada instrumen asas kugiran mereka – gitar, dram, bass dan vokal – dengan kekuatan yang ada dipindahkan kepada muzik baru yang dilahirkan.

Kita akan melihat dan merasakan selera baru muzik SCTS. Vokal Saiful Ridzuan kali ini menjadi satu aset yang akan memaksa pendengar untuk memberi perhatian yang lebih. Tona, kekuatan serta sebutan kini berada pada tahap terbaik, dengan kejelasan yang kristal – jika dibandingkan dengan usaha sebelumnya. Kalau ada yang merungut mahukan ‘vocal projection’ lama Duan dengan SCTS seperti dulu, itu terserah.  Tetapi, hal itu tidak akan ditemukan di dalam album ini. The Great Battle barangkali merupakan usaha rakaman pertama vokalis mereka memusatkan semua upaya dan tenaga seperti yang ditekuni ketika kursus vokal di UiTM. Ada perbezaan ketara antara ‘sebelum’ dan ‘selepas’ period itu yang ditonjolkan olehnya. Yang pasti, vokal kali ini semakin ‘polished’ dan meresap elok ke dalam muzik baru yang dihasilkan.

10 lagu dimuatkan, dengan pelbagai ritma dan perasaan yang sarat. Single pertama, Wild Child (Here For You) adalah contoh sederhana kepada bunyian keseluruhan yang terkandung untuk di dengar. Sesekali selera pendengar akan dilunakkan dengan lagu rentak perlahan seperti pada lagu Fibres dan terus kepada mood semi-akustik pada lagu The Foreigner. Selang beberapa waktu yang lain pula, kita akan mendengarkan sebuah lagu yang menghimpun gerak untuk ke kemuncak yang pantas, seperti yang terlihat pada track December.

SCTS, selepas tiga album, masih lagi selesa dengan lirik Inggeris dan tetap yakin dengan pilihan itu. Dan, sebetulnya, mungkin juga itu bukan satu masalah bagi mereka. Selagi mana SCTS yakin dengan pilihan yang dibuat, dan masih bersemangat mahu mempengaruhi selera muzik khalayak di Malaysia, selagi itu jugalah harapan yang tinggi disandarkan kepada mereka untuk terus menolak keterbatasan yang dirasakan mengongkong. Setakat usaha terbaru ini, mereka memang menonjolkan diri sebagai sebuah band muda Malaysia yang punya semangat dan komited dengan muzik sendiri, tanpa segan silu.

Di awal penglibatan mereka dulu, mungkin ada suara-suara yang membandingkan muzik SCTS dengan Dave Matthews Band dan Radiohead, dengan nada sindiran. Tetapi, kini nampaknya dua nama itu akan hilang tertinggal entah di mana dari muzik mereka. Yang pastinya, beberapa petua dan terapi dicuplik oleh SCTS untuk kebaikan perjalanan muzik band berkenaan – terutamanya keberanian dan kecairan alur muzik yang mengunjur ke daerah tersendiri. Jika disorot kembali, dua bayang besar yang dibandingkan dengan SCTS itu boleh juga dilihat sebagai semacam satu ‘pengiktirafan’ terhadap muzik mereka sendiri; mana tidaknya, apa rasa kalau muzik kecil dari Malaysia sudah mahu disebut-sebut dan dibandingkan dengan muzik band-band besar dunia – walau dengan apa maksud sekalipun?

Selamat memiliki dan menikmati The Great Battle, yang mungkin menjadi buah tangan muzik paling bermakna untuk tahun 2009 kepada ramai orang, terutama kepada penikmat muzik SCTS yang lama mahupun yang baru.

.
- HH, 27 Disember 2009.

kesimpulan dunia ‘hiburan’ sekarang 1

Posted in Esei, anekdot on December 30, 2009 by rawkcarpark

Dah lama aku tak tulis di sini. Tajuk di atas cuba dicipta ringkas, padat dan kompak konklusinya.

KESIMPULAN 1:

DUNIA ARTIS-MARTIS MALAYSIA = SKIM CEPAT KAYA

SEIR

filem: taking woodstock

Posted in filem on December 20, 2009 by rawkcarpark

Taking Woodstock
Ang Lee
2009
.

Filem ini, yang diangkat daripada memoir Elliot Tiber dan Tom Monte –   Taking Woodstock: A True Story of a Riot, a Concert, and a Life memaparkan kisah ‘menuju Woodstock 1969′, suatu momen paling penting di dalam sejarah muzik moden.

Ia memang berlatarkan suasana ketika itu, tetapi hanya memberi perhatian kepada sebuah tempat – White Lake – yang pada awalnya bukan merupakan tempat asal di mana Festival Woodstock mahu di adakan.

Ia mengambil kisah Elliot Tiber, yang mana keluarganya memiliki sebuah motel dan sedang menghadapi masalah kewangan kerana tiada lansung apa-apa perkara untuk menarik orang luar bertandang ke tempat mereka.

Tiber sebenarnya merancang untuk mengadakan satu persembahan muzik kecil untuk membolehkan tempat berkenaan dikunjungi oleh orang luar. Tetapi kemudiannya, melalui siaran radio, Elliot mendapat tahu bahawa penganjuran Festival Woodstock di pekan berdekatan terpaksa dibatalkan kerana mendapat tentangan masyarakat.

Berbekalkan permit yang diperoleh untuk acara muzik kecil-kecilan itu, dia menghubungi Michael Lang, penganjur festival berkenaan untuk menawarkan tempat dan permit. Dengan segera ia dipersetujui, diikuti dengan perbincangan-berbincangan yang getir, termasuk tentangan penduduk, akhirnya adalah seperti apa yang sudah disaksikan melalui sejarah – Festival Woodstock berlangsung dengan segala macam tentangan, masalah dan kerugian!

Filem ini adalah filem tentang ambien seni di Amerika waktu itu, dan sebetulnya menunjukkan sisi ekonomi lebih daripada muzik itu sendiri. Ini kerana, tiada mana-mana footage di dalam filem ini menunjukkan persembahan lagenda para pemuzik di pentas festival berkenaan. Cuma, Ang Lee menggunakan lagu-lagu artis yang terlibat dengan persembahan itu untuk mewarnai latar visual yang sebetulnya hanya menunjukkan apa yang berlaku di pekan kecil berkenaan ketika festival itu berlangsung.

Dan, bagi Elliot – yang tidak pun sempat untuk menyaksikan konsert, matlamatnya tercapai – motel keluarganya kembali bernyawa dan mereka membuat banyak duit untuk persembahan muzik yang hanya berlangsung tiga hari itu.

Jika ingin menikmati getar dan suasana Festival Woodstock, tonton filem ini. Tetapi jangan mengharapkan aksi Jimi Hendrix atau Joan Baez di pentas. Ini cerita yang terbit disebabkan untuk mencari penyelesaian masalah ekonomi, bukan muzik.
.
- HH, 20 Disember 2009

‘ambitious’ angkasa SGE

Posted in album, berita pantas on December 7, 2009 by rawkcarpark

Space Gambus Experiment (2009)

Space Gambus Experiment, sebuah projek muzik kolaborasi beberpa tukang audio dan pemuzik, kini siap dan menunggu untuk dicetak dan diedarkan. Kamal Sabran (KS), tunjang dan penggerak utama projek ini mengesahkan yang grup ini akan melancarkan CD ini sekitar pertengahan Disember nanti.

Projek ini dilengkapi sendiri oleh KS (elektro-acoustik) dan Zulkifli Ramli (Oud/Gambus, Dewangga Sakti) dan turut dibantu oleh pemuzik-pemuzik luar antaranya dari UK, Itali, Finland, Norway, Amerika Syarikat dan sebagainya. Projek ini dikerjakan diruang studio rumah di Ipoh dengan peralatan minima oleh Kamal dan Zul Ramli dan seterusnya dibantu oleh pemuzik lain dari merata tempat yang terlebih dulu mendengar dan menyiapkan track audio masing-masing dan ditukar-serah dalam talian – melalui internet.

Dari pendekatannya, dengan idea kombinasi alat muzik yang pelbagai – termasuk gambus, SGE mungkin sebuah projek muzik yang minima tetapi mengandung elemen dan kejutan yang akan membuatkan muzik itu sendiri terlepas ke ‘ruang kosmik angkasa’, agaknya. Sama-sama kita tunggu. Reviu album / CD ini akan disertakan sebaik menerima naskahnya nanti. Untuk awalan ini, dengarkan sampel-sampel audio projek SGE  di sini.

Juga, baca berkaitan mereka di sini.

 - Hafiz Hamzah, 7 Disember 2009.

efek rumah kaca @ kuala lumpur

Posted in berita pantas on December 4, 2009 by rawkcarpark

Efek Rumah Kaca (ERK) ialah sebuah band Indonesia yang menemukan melodi ringkas (baca: pop) dengan pemberat yang kuat pada lirik-lirik mereka. Dan, Februari ini mereka akan bertandang untuk bermuzik, dijangkakan set penuh selama 2 jam. Maklumat lanjut tentang persembahan mereka akan dimaklumkan kelak. Dengan berbekalkan dua album penuh, mereka menjaja musik dan idea tersendiri – yang tak seperti band dari sana yang lain.

Tarikh persembahan:  28 Februari 2010

Satu cara untuk sentiasa dimaklumkan tentang perkembangan terbaru dan semasa acara ini, sertai grup ‘Efek Rumah Kaca Live in Malaysia’ di Facebook.

Tiket ‘Konsert Efek Rumah Kaca’ dan ‘Eksklusif Diskustik bersama Efek Rumah Kaca’ akan mula dijual 18hb Disember 2009.

Tiket Pra-Jualan RM25 / RM30 (beserta sesi ‘Diskustik’)
Pintu RM35 / RM45 (plus diskustik, kalau ada lagi)

Tiket boleh di dapati di:

- Booth Oxygen Media/Frinjan di acara-acara yang bertebaran
- Rantai Idealist 18hb – 20hb Disember 2009
- Rock The World 26hb Disember 2009

Dengan membeli tiket pra-jualan, CD ERK album ‘Efek Rumah Kaca’ & ‘Kamar Gelap’ dapat dibeli dengan harga RM25 (Stok Terhad.) Sebarang pertanyaan ajukan kepada: oxygenmedia22@gmail.com.

Jika mahu membaca lanjut tentang ERK, yang diterbitkan oleh penikmat di Malaysia, klik di sini.

muzik spiritual

Posted in kultur/budaya, new music on November 2, 2009 by rawkcarpark

Aku menulis ini di dalam catatan Menyelingkuh Hiroshima:

Di satu sudut, sekumpulan pemuzik jalanan mengambil tempat. Ada unik yang mengiringi mereka. Dua lelaki 30an dengan rambut rasta berserban, seorang lagi dengan gitar dan seorang perempuan menari joget. Muzik gendang fusion yang dimainkan – melangkau beberapa lagu – tetap menjadi magnet untuk melekakan aku kepada persembahan mereka. CD album pertama juga tersimpuh sopan di depan, di atas kain hampar yang comot. Orang-orang ada yang menari sama. Muzik bagi kelompok ini adalah ritual untuk merangsang spiritual.  Setengah jam aku duduk di depan muka mereka, menelan bunyi-bunyi yang aku rasakan cukup memukau. Kocek tak banyak wang tunai, dan CD mereka terpaksa aku abaikan, hanya sempat memegang dan membelek. Pengalaman muzik yang asyik boleh didapati di tepi jalan di Hiroshima.

Kalau mahu membaca catatan penuh, sila klik di sini.

P1010331-FB

reviu album: backspacer

Posted in reviu album on October 5, 2009 by rawkcarpark

backspacer-cover1

Backspacer
Pearl Jam
Universal Music Group
2009

Apa memori terakhir tentang Pearl Jam yang masih bergema di dalam benak kamu? Ketika mula mahu mendengar album terbaru mereka ini – album studio ke 9 – seluruh kekaguman terhadap mereka terpaksa dilucutkan. Dilucut bukan kerana kecewa atau apa-apa, tetapi semacam satu persiapan untuk menerima hasil kerja terbaru ini dengan bersungguh dan gemuruh dengan jangkaan-jangkaan yang tak pasti.

Pearl Jam, sebuah grup rock yang terakhir kiranya mampu bertahan dari kelompok gerakan muzik Seattle 90an dan, mereka masih mahu untuk terus memahat tugu muzik sendiri dengan penuh rasa ghairah dan fokus yang bukan kepalang. Dulu, mereka sudah menutup mulut sinis yang mencebik bibir dengan gaya muzik muda-mudi yang mereka hasilkan. Tiga album terawal, Ten, Vs. dan Vitalogy mempamerkan stamina luar biasa mereka; bukan hanya stamina fizikal, tetapi turut merangkum stamina keberanian, stamina idea dan keyakinan terhadap muzik yang dibawa.

Kini, dengan Backspacer, ada lagi pernyataan yang disampaikan oleh album ini. Mereka kembali berkerja dengan penerbit Brendan O’Brien yang kali terakhir bersama ketika melahirkan Yield. Menurut satu kenyataan oleh Eddie Vedder, ini disebabkan kesediaan mereka untuk memberi ruang kepada ‘orang luar’ untuk campur tangan dan bersuara terhadap apa saja aspek muzik Pearl Jam. “Kami dapat tahu Bruce Springsteen juga memberi ruang kepada beliau (Brendan) untuk melontar pandangan tentang  kerja muzik beliau, jadi, kali ini, mengapa tidak kami juga berbuat perkara yang sama,” kata Vedder. Sebelum ini, apa saja idea dan pandangan Brendan tidak akan dilayan oleh mereka – sama sekali.

Pertama kali mendengar lagu pertama dari album ini – Gonna See My Friend – entah bagaimana pembukaannya menggamit semula ingatan kepada sebuah lagu lain, dengan judul Los Angeles Is Burning daripada Bad Religion. Dan, ia memberi isyarat yang agak jelas kepada mood keseluruhan yang terkandung di dalamnya.

Album ini kembali dengan tempo yang pantas, tona punk yang kembali pekat dengan semangat seperti dikala muda, oleh ahli-ahli dan grup ini sendiri. Dan itu mungkin penjelasan yang tersirat disebalik segala dentam-dentum dram, suara garau dan jerit gitar yang tersusun rapi pada Backspacer.

Bagaimana membaca Backspacer itu terpulang kepada yang mendengar dan memerhati perkembangan grup ini dari satu album ke satu album. Cuma, yang agak ketara ialah hal ini; Pearl Jam seperti mahu mengembalikan diri mereka menghampiri titik awal – dan melangkau ruang-ruang diantaranya – sewaktu mereka bermula dengan muzik yang sudah berkelansungan merentas dua dekad ini. Dan pastinya, perjalanan itu tidak akan indah tanpa ada yang meraikan – pendengar dan peminat.

Maka, dengan Backspacer, Pearl Jam mengulang masa dan ruang untuk menyuntik nostalgia muzik-muzik awal mereka. Walaupun pada dasarnya, muzik yang terhasil di dalam Backspacer ini lebih molek dikelompokkan sekali dengan dua lagi album sebelumnya – Riot Act dan Pearl Jam – tetapi ia mengandung tenaga yang lebih dan perasaan yang melonjak-lonjak untuk meraikan destinasi muzik terbaru grup yang sentiasa cemerlang di pentas ketika ‘live’ ini.

Bagi berkenalan dengannya, dengarkan dulu judul ‘The Fixer’, yang juga single pertama yang datang sekali dengan klip video di internet. Ia, seperti yang dinyatakan tadi, mengandung semangat dan arah keseluruhan album ini, yang menyuntik punk di dalam muzik, pada usia tua oleh pembikinnya – mungkin.

Kemudian, ‘Force of Nature’ juga sebuah lagu yang kuat bagi Backspacer. Dengan melodi sayu yang digenggam kuat oleh muzik dan tempo yang tenang, menyampaikan satu perasaan yang sarat dengan kesedaran dan bersiap untuk penyerahan kepada sesuatu yang ada diluar lingkar kemampuan.

Dua lagu balad, ‘Just Breathe’ dan ‘The End’ menjadi selingan yang lebih minimal, dengan seri yang tertumpu kepada suara tak lurus Eddie Vedder.

Secara muzikal, Pearl Jam masih mempunyai tenaga untuk terus berelaborasi dengan ruang lingkup muzik mereka selama ini. Pengaruh muzik-muzik baru juga masih tidak meresap banyak di dalam album mereka setakat ini. Jadi, ini sedikit melegakan kepada mereka yang selalu berasa terputus dengan genre muzik baru yang lahir. Sekurang-kurangnya, masih ada ruang dan muzik yang boleh membayangkan jiwa muzik kelompok ini. Terima kasih, Pearl Jam, kerana masih setia dengan diri sendiri.

“I don’t wanna hurt, there’s so much in this world that make me bleed.”  -Just Breathe, Pearl Jam.

 

*Backspacer dirilis pada 20 September 2009, seluruh dunia.

 

Hafiz Hamzah
5 Oktober 2009